Isnin, 23 Februari 2015

Perwakilan PAS dedah dalang anti-Hadi kerana tak puas hati

Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic



SHAH ALAM: Tindakan perwakilan Dewan Ulama PAS yang secara terbuka dan lantang mengkritik dua pemimpin penting dalam parti mencerminkan kemarahan ahli-ahli PAS terhadap dalang yang mahu menjatuhkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman pendedahan itu menunjukkan golongan ulama dalam PAS sudah hilang sabar  terhadap serangan dilakukan ke atas Hadi.

Semalam dua nama – Timbalan Presiden, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Mohd. Hatta Ramli – disebut sebagai pihak yang terbabit dalam memecahbelahkan PAS.
Pendedahan itu dibuat dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia II diadakan di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya.

"Mungkin PAS ambil keputusan yang nekad untuk bersihkan parti. PAS merasakan bahawa pengaruh luar tu agak kuat yang menyebabkan PAS seolah-olah tak bawa dasar sendiri tapi dikawal pihak luar. Saya rasa itu yang tidak senangkan ahli-ahli PAS," katanya kepada Antarapos.

Malah bukan itu saja, perwakilan itu juga mahu tindakan tegas termasuk memecat kedua-duanya bagi merawat kembali parti itu yang kini dilanda perpecahan.

Baru-baru ini juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim bersama kira-kira 300 ahli yang merupakan penyokong Hadi berhimpun di ibu pejabat parti itu mendesak Hatta dan mereka yang terlibat dalam komplot menjatuhkan presiden serta kepimpinan ulama meletak jawatan.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) turut mendedahkan terdapat perbincangan dalam parti berhubung kedudukan Hadi sebagai presiden PAS.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan menafikan terlibat dalam kumpulan itu walaupun ada pihak yang mengaitkannya bersama Mohamad, Hatta dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam kumpulan yang didakwa cuba menjatuhkan Hadi.

ISMA yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini pernah menasihatkan PAS supaya tidak tersasar daripada perjuangan sebenar kerana bimbang kemelut seperti ini akan berlaku.

"(Saya menyeru PAS) memilih jalan terbaik untuk memastikan PAS berada pada landasan perjuangan yang asal. Sebelum ni pun kita sentiasa memberi pandangan menasihatkan PAS supaya tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur luar daripada agenda parti," ujar beliau.

Tiada ulasan: