Jumaat, 13 Februari 2015

Nik Aziz, sosok kecil yang besar jiwanya

MALAYSIAKINI


 


Pertama kali saya bertemu dengan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1995.

Beliau seorang yang kecil sosok tubuhnya.

Kali terakhir saya lihatnya pada 18 Disember tahun lalu, dalam hujan lebat, petanda banjir akan melanda Kelantan.

Ketika itu kesihatannya sudah merosot dan terpaksa membawa beg kencing bersamanya. Keadaan itu buatkan saya segan untuk bertemu dengan beliau.

Saya hanya renung allahyarham daripada luar rumah, dalam gelap, walaupun saya dibawa ke situ oleh Pejabat Menteri Besar Kelantan sendiri.

Walaupun uzur, tatap matanya sentiasa tajam.

Enam kali mewawancaranya dalam tempoh 20 tahun, saya sentiasa ingat pada renungan tajam matanya, terus menusuk pandangan kita.

Dalam wawancara saya dengan  Nik Aziz pada 1995 sebagai seorang wartawan muda, saya terbang daripada Kuala Lumpur.

Saya menggalas tugas menjadi wartawan pertama akhbar arus perdana berbahasa Inggeris melakukan tugas itu.

Beliau melayan saya setengah jam dan menjawab semua soalan saya sebelum meminta diri untuk menghadiri pengebumian ibunya ketika itu.

Saya terkejut. Saya tidak membaca akhbar hari itu kerana mengambil penerbangan pertama tanpa telefon bimbit ketika itu. Saya tidak tahu berita itu.

Selepas itu, setiausaha akhbarnya memberitahu saya bahawa allahyarham tetap meneruskan wawancara itu memandangkan saya datang daripada jauh.

Inilah sifat Nik Aziz, sentiasa memikirkan hal orang lain terlebih dahulu.

Tiada ulasan: