mh17
 
 
AMSTERDAM - BELANDA. Pasukan penyiasat antarabangsa akan menjalankan pemeriksaan dan ujian ke atas rangka pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine pada Julai lalu, lapor Reuters.

Memetik laporan tersebut, sejak beberapa minggu lalu pasukan penyiasat sudah menjalankan siasatan ke atas rangka tersebut termasuk ujian ke atas kesan retakan, mekanisme kegagalan dan paten hentaman.

"Dalam masa terdekat pasukan berkenaan akan memulakan kerja-kerja membina semula bahagian pesawat secara tiga dimensi di Pangkalan Tentera Udara Belanda di mana rangka pesawat itu disimpan,” kata Lembaga keselamatan Belanda.

Menurut kenyataan lembaga itu lagi, dalam penyiasatan itu keluarga mangsa akan dibenarkan melihat hasil siasatannya dan pembinaan semula pesawat berkenaan dijangka bulan hadapan.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.

Terdahulu, beberapa bahagian pesawat itu telah dipindahkan di Belanda pada tahun lalu bagi menjaga keselamatan pegawai penyiasat selepas lokasi nahas secara berterusan menjadi medan pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak Pro-Rusia.

Baru-baru ini, laporan awal, hasil ujian yang dijalankan pasukan penyiasat Belanda mendapati pesawat MH17 terhempas selepas ‘dihentam’ oleh objek berkelajuan tinggi yang dipercayai dilancarkan dari darat.