Rabu, 25 Februari 2015

Majlis Peguam diminta perjelas alasan etika

MALAYSIAKINI


 


Dua peguam mahukan Majlis Peguam memberi penjelasan berkaitan alasan etika dalam mendedahkan keterangan tertutup, sama seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Mohd Shafee Abdullah dalam siri jelajahnya.

Kedua-dua peguam itu - Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Ipoh, Timor Thomas Su – mengajukan soalan itu dalam surat yang dihantar dengan tangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Peguam, Chin Oy Sim hari ini.

"Kami bimbang kerana Shafee mendedahkan keterangan tertutup, yang mana tidak sesuai. Ada tujuan mengapa keterangan diberikan secara tertutup.

"Kami tidak hanya bercakap mengenai kes Anwar Ibrahim, tetapi kami juga bercakap tentang proses undang-undang secara keseluruhannya. Tiada lagi perlindungan terhadap mangsa," kata Su kepada pemberita.

Beliau menegaskan bahawa maksud memberikan keterangan secara tertutup bukan sahaja untuk melindungi identiti orang berkenaan, tetapi juga untuk menghormati sebab-sebab di sebalik keputusan hakim.

Berikutan itu, Lim dan Su menegaskan perlunya bagi Majlis Peguam untuk menangani isu itu dan memberi bimbingan kepada peguam.

Shafee adalah seorang peguam terkemuka yang dilantik sebagai pendakwa apabila kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada pertuduhan Liwat II.

Pendakwaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar.

Berikutan itu, Shafee telah memberi beberapa ceramah di Pulau Pinang dan Lembah Klang mengenai butiran perbicaraan itu, termasuk butiran keterangan tertutup Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 

Tiada ulasan: