Isnin, 23 Februari 2015

Kalau betul kena ambil tindakan – PAS Perak

 
Mat Sabu dan Dr Hatta wajar memberi penjelasan berhubung dakwaan pergerakan menjatuhkan Presiden PAS


pas perak


IPOH: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dan Pengarah Pilihan Rayanya, Dr. Mohd. Hatta Ramli digesa tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama mereka daripada tuduhan menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, tuduhan seumpama itu boleh dilemparkan oleh sesiapa sahaja, justeru siasatan wajar dijalankan, malah tindakan perlu diambil sekiranya dakwaan dilakukan adalah benar-benar berlaku.

“Perkara ini baru tuduhan, kita pun tidak tahu (kebenarannya). Sesiapa sahaja boleh melemparkan tuduhan. Yang diminta ialah supaya dibuat siasatan,” katanya.

Beliau menambah:, “Kalau tak betul, alhamdulillah. Kalau betul, kita kena ambil tindakan. Kalau nak dikira tabayyun (mendalami masalah dengan teliti), ayat al-Quran pun ada (menyebut), apabila kita menerima sesuatu berita, maka kita kena siasat.”

Tegasnya, Mat Sabu dan Dr Hatta wajar tampil memberi penjelasan kerana, “Memang sepatutnya dalam gerakan kita melibatkan satu jemaah ini, apabila ada sesuatu dilemparkan kepada kita, lebih baik kita sendiri yang tampil membersihkan nama.”

“Kalau tak ada pembersihan ini, mungkin ada satu badan lain pula yang membuat pengesahan kepada perkara itu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Razman diminta mengulas kewajaran Mat Sabu dan Mohd. Hatta tampil membersihkan nama mereka selepas seorang wakil Dewan Ulama PAS Kedah, Fauzi Hussin mengaitkan kedua-duanya sebagai dalang untuk menjatuhkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yakob dalam Multaqa Ulama SeMalaysia II di Serdang Jaya, Selangor

Malah sebelum ini Dewan Ulama Pemuda PAS Kuantan turut mengeluarkan dakwaan bahawa Dr Hatta merupakan individu yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden PAS.

Tiada ulasan: