Ahad, 22 Februari 2015

Jangan terpengaruh kempen di media sosial - Ahmad Shabery

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
KEMAMAN: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan kempen menerusi media sosial yang bertujuan mencemarkan sistem perundangan negara demi kepentingan politik individu tertentu.
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kempen itu jelas mencabar sistem perundangan dan kehakiman di negara ini.
 
Beliau berkata, kempen itu diadakan semata-mata mahu mengheret rakyat untuk menyertai perhimpunan 'March to Freedom' bulan depan bagi mendesak kerajaan membebaskan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Saya kesal dengan perbuatan pihak yang menganjurkan kempen itu, dengan menjadikan media sosial sebagai medan menarik orang ramai.
 
"Sebarang usaha yang dilakukan bagi membebaskan seseorang yang dijatuhkan hukuman bersalah oleh sesebuah mahkamah di negara ini, dianggap boleh mencemarkan sistem kehakiman," katanya hari ini.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program pembahagian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.
 
Kempen itu dilancarkan Nurul Nuha, anak kedua Anwar, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya pada 10 Februari lepas.
 
Ahmad Shabery turut mempertikaikan Majlis Peguam yang dilihat mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan.
 
Sebelum ini, presiden badan berkenaan Christopher Leong dipetik media tempatan sebagai berkata Anwar 'dianiaya, bukan didakwa' selepas Mahkamah Persekutuan membuat penghakimannya. 

Tiada ulasan: