Selasa, 24 Februari 2015

Hudud: DAP tak berhak herdik, gertak PAS

 
Orang Islam yang berkhatan, orang bukan Islam pula yang menjerit


Nasrudin Hassan Tantawi syariah law


PETALING JAYA: DAP berhak untuk tidak menerima hasrat PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (Hudud) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Mac ini.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat, Nasrudin Hassan, parti itu tidak boleh mengherdik atau mengertak PAS dengan memberi kata dua supaya meninggalkan pakatan pembangkang.

Katanya, sejak bergabung dalam pakatan pembangkang, PAS telah memberi penerangan dan mengadakan perbincangan dengan DAP mengenai cadangan melaksanakan hukum Hudud.

“Ketika itu DAP membuat keputusan tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu. Kita hormat keputusan itu, tetapi mereka tidak boleh mengancam PAS dengan sebarang ugutan atau amaran.

“Selepas itu, kita menganggap perkara ini tidak lagi berbangkit dan meneruskan perjuangan parti masing-masing.

“Malangnya, DAP mengambil keputusan untuk mencetuskan kemarahan rakan gabungannya (PAS) dengan beberapa pemimpinnya mengeluarkan kenyataan bersifat ugutan,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Nasrudin mengulas kenyataan berbaur amaran daripada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang dilaporkan memberi amaran kepada PAS bahawa parti itu bukan lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang jika meneruskan perancangannya membentangkan rang undang-undang berkaitan hudud pada 16 hingga 19 Mac ini.

Kenyataan itu turut mendapat reaksi Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan yang berkata, DAP tidak boleh menghalang PAS daripada melaksanakan undang-undang itu di Kelantan kerana pakatan pembangkang yang diwujudkan pada 2008 bukan kepunyaan DAP.

Menurut Nasrudin, disebabkan pelaksanaan hukum hudud ini jauh mendahului daripada pembentukan pakatan pembangkang, kenapa DAP harus gelisah dengan langkah yang diambil oleh kerajaan Kelantan.

“Sedangkan langkah itu adalah demokratik dalam mematuhi lunas undang-undang dan Perlembagaan Negara. Sementelah ia adalah kewajiban agama yang mesti dilaksanakan oleh hamba Allah yang soleh.

“Sebagai seorang Muslim, tiada helah untuk tidak mematuhi perintah Allah. Justeru, hanya satu kata kepada DAP, mereka tidak boleh mematikan perjuangan Islam yang didokong oleh PAS sejak sekian lama,” katanya.

Kata beliau, siapa pun tokoh yang digunakan oleh DAP untuk mengherdik dan mengugut, PAS tidak akan berganjak terhadap dasar serta prinsip perjuangannya.

Tambahan pula, kata Nasrudin, DAP pernah meninggalkan PAS ketika era Barisan Alternatif (BA) kerana tidak bersetuju dengan hukum hudud yang diperjuangkan parti itu.

“Kenapa hari ini DAP perlu mengugut PAS, sedangkan bila-bila masa DAP boleh berangkat pergi, namun mengharap PAS berhenti berjuang ke arah melaksanakan syariat Allah, ia bagai menanti sang keli tumbuh sisik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, DAP tidak perlu menjerit dalam hal parti itu hendak melaksanakan hukum Hudud.

“Orang Islam yang berkhatan, orang bukan Islam pula yang menjerit. Boleh jadi mungkin kerana takut, trauma ataupun ditakut-takutkan. Cumanya, kalaulah orang bukan Islam juga tahu kelebihan dan kebaikan berkhatan, mesti dia juga akan berkhatan sama,” katanya berkias.

Kata Azhar, dalam pelaksanaan hudud, ia terpakai kepada umat Islam dan dikenakan kepada penjenayah sahaja, tidak ada sebab DAP serta mana-mana pihak yang tidak terlibat, mengelabah.

Tiada ulasan: