Ahad, 22 Februari 2015

Fathul Bari : UMNO Perlu Tubuh Majlis Ulama'

RAKYATNEWS


Najib Razak
 


KUALA LUMPUR  - UMNO dilihat perlu mempunyai sebuah majlis ulama sendiri untuk menolak persepsi negatif parti itu selama ini menolak kepimpinan ulama.

Penasihat Eksekutif Pertubuhan ilmuan Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, walaupun dakwaan itu sedikit tersasar, ia dilihat membesarkan bidang kuasa biro agama UMNO sendiri.

"Saya terima secara positif teguran sebahagian pihak bahawa UMNO hanya ada biro agama tetapi ia tidak dilihat memiliki satu bidang kuasa yang besar.

"Saya berharap cadangan saya beberapa tahun lalu dapat difikirkan semula oleh pihak pengurusan parti iaitu penubuhan Majlis Ulama UMNO.

"Setidak-tidaknya dapat meluruskan persepsi negatif sebahagian pihak yg mendakwa UMNO menolak kepimpinan ulama walaupun dakwaan tersebut tersasar," katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Fathul mengulas kenyataan Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan yang menyifatkan ahli-ahli UMNO yang sayangkan ulama perlu mencalonkan golongan tersebut menjadi presiden parti mereka.

Pada muktamar PAS  2011, isu sama pernah dibangkitkan oleh Mohamad Sabu sebaik sahaja dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden pada waktu itu.

Kenyataan Wan Saiful itu dikeluarkan ketika mengulas sikap beberapa ahli dan pemimpin UMNO yang sering mengeluarkan kenyataan membidas perkembangan dalam PAS yang didakwa meminggirkan ulama.

Dalam pada itu kata Fathul yang juga Exco Pemuda UMNO, parti itu pasti mahu bersuara apabila timbul isu berkenaan kerana PAS dikenali sebuah parti yang sentiasa mempromosikan ulama dalam kepimpinan partinya.

"Ia dilihat makin 'kuat' apabila wujud gerakan tertentu yang dilihat berusaha untuk meminggirkan ulama.

"Puluhan tahun UMNO dikritik kerana dikatakan meminggirkan ulama. Jadi,respon pemimpin UMNO apabila melihat PAS mula meminggirkan ulama adalah hal yang normal," jelasnya.

Fathul bagaiamnapun tidak menafikan tentang keperluan untuk melakukan perubahan dalam mana-mana gerakan termasuk PAS.

"Demikian juga ahli-ahli PAS juga tidak boleh nafikan bahawa kemenangan PAS selama ini antaranya berpunca dari motto 'Kepimpinan ulama'.

"Oleh itu, yang sewajarnya mengkritik perubahan ini adalah ahli PAS sendiri dan ia telah pun berlaku.

"Pandangan daripada pemimpin dan ahli UMNO saya lihat adalah satu nilai tambah sahaja," ujarnya.

Tegasnya lagi, isunya kini bukanlah mengenai perlantikan presiden dari kalangan ulama atau tidak.

"Sebaliknya apa yang perlu diperdebatkan adalah keseimbangan serta kerjasama tuntas antara ulama dan umara. Perlu diketahui bahawa bukanlah merupakan syarat utama di dalam Islam untuk menjadi pemimpin itu mesti terdiri dari kalangan ulama.

"Namun, Islam mensyaratkan setiap pemimpin yang bukan ulama sentiasa merujuk kepada ulama. Ini sewajarnya perlu dijadikan asas. Bukan mensyaratkan pemimpin itu ulama dan kemudian meremehkan parti-parti yang tidak meletakkan ulama sebagai pemimpin," jelasnya.

Katanya, teguran yang dibuat itu turut ditujukan kepada pihak yang sibuk mengkritik kepimpinan selain ulama sedang mereka sendiri tidak mendengar nasihat ulama.

Ujarnya, ulama juga tidak semestinya diberikan jawatan, sebaliknya panduan ulama itu harus dijadikan asas perjuangan.

"Namun,jika hanya ada dewan ulama tetapi hanya sekadar dewan tetapi langsung tidak diendahkan nasihat dan pandangan, maka sebenarnya mereka membelakangkan ulama.

"Dan walaupun hanya ada biro namun wujud usaha-usaha Islamisasi, maka ia dilihat lebih baik dari dewan sendiri," katanya.

Tiada ulasan: