Isnin, 23 Februari 2015

Fariz Musa tetap teruskan himpunan solidariti untuk Anwar

 Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa akan terus menyertai himpunan solidariti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun berdepan dengan pelbagai ancaman.
 
Malah, Fariz berkata beliau akan bersama-sama dengan aktivis Adam Adli Abdul Halim malam ini di Himpunan Solidariti (Vigil) Anwar Ibrahim di pintu masuk Penjara Sungai Buloh. 
 
"Ya, diteruskan dan saya akan terus bersama dengan semua untuk meneruskan demo serta semua aktiviti yang dirancangkan.
 
"Malam ini pun saya akan turun di (Penjara) Sungai Buloh bersama-sama dengan Adam Adli," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Mengulas lanjut berhubung penahanannya semalam, Fariz berkata buat masa ini tidak ada sebarang tuduhan dikenakan terhadap beliau dan Adam Adli.
 
"Setakat ini tak ada apa (sebarang tuduhan). Dibebaskan dengan ikat jamin polis," katanya.
 
Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa dibebaskan polis selepas bermalam di lokap Jinjang malam tadi.
 
“Tiada permohonan reman dipohon,” kata peguam mereka Michelle Yesudas di Facebook pagi tadi.
 
Petang semalam Adam dan Fariz ditahan polis ketika menyertai perhimpunan setiakawan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di depan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.
 
Mereka dipercayai ditahan bawah seksyen 143, Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.
 
Perhimpunan semalam bermula dengan tarian singa sempena sambutan Tahun Baru Cina, yang menarik perhatian kira-kira 200 pengunjung ke pusat membeli belah itu.
 
Kumpulan tarian singa itu kemudian menyerahkan tulisan khat Cina kepada anak kedua Anwar – Nurul Nuha.
 
Anwar sedang menjalani hukuman lima tahun penjara selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap sabitan tuduhan liwat ke atasnya.

Tiada ulasan: