Ahad, 22 Februari 2015

'Fahami dan perteguhkan kepimpinan ulamak'

TUAN IBRAHIM TUAN MAN


ULASAN Di dalam PAS, penerimaan kepimpinan ulamak bukan bermakna mengenepikan golongan professional. Semua pihak mesti bersama dalam gagasan besar ini bagi memperjuangkan Islam. Semua pihak mempunyai tanggungjawab akidah untuk bersama menyumbang kepada kemenangan Islam.

Kemenangan Islam bukan hanya diukur dari keputusan dalam pilihanraya sahaja. Sebaliknya kemenangan dakwah dan tarbiyyah di kalangan manusia adalah gagasan besar gerakan Islam.

Ia adalah satu kesalahan untuk mengenepikan mana-mana individu yang ingin bersama memperjungkan Islam, sebagaimana juga satu kesalahan menentang kepimpinan Islam yang telah dipilih oleh ahli.

PAS, dari satu sudut sebagai parti politik, tentulah ukuran kejayaannya ialah kemenangan dalam pilihanraya.

Dari sudut yang lebih luas pula, PAS adalah sebuah gerakan dakwah di mana ukuran kemenangannya ialah sejauh mana dakwah dapat disebarkan kepada ummah dan masyarakat, dan tahap penerimaan masyarakat pada Islam sebagai cara hidup mereka.

Pada sudut ukuran tarbiyyah pula, ia dilihat kepada sejauh mana mereka yang berada dalam jamaah dapat ditingkatkan peranan menjadi amilin kepada perjuangan Islam.

Jangan kerana ukuran kejayaan setiap bahagian berbeza, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan ia alasan untuk saling bertembung antara satu sama lain.

Di hadapan kita ada sirah Rasulullah SAW.  Baginda pernah ditawar menjadi raja, namun Baginda menolaknya. Walaupun pada perkiraan kita, andainya Baginda menerima dahulu jawatan tersebut, kemudian Baginda menggunakan kuasa sebagai raja untuk menyebarkan dakwah dan memperkasakan Islam, lojiknya, ia tentulah lebih baik dan berjaya.

Namun, itu bukan kaedah yang diambil oleh Baginda. Kisah itu mengajar kita bahawa gagasan Islam mesti berjalan serentak dengan usaha mendapatkan kuasa politik.

Oleh kerana gagasan Islam adalah gagasan 'Rahmat-ul-lil Alimin' maka ia tidak sepatutnya ditakuti. Tetapi kebimbangan akan  tetap ada di kalangan bukan muslim atau mereka yang terpengaruh dengan Islamophia.

Maka proses membina keyakinan terhadap Islam mestilah dibuktikan melalui beberapa dasar Islam yang adil dan berkebajikan. PAS di Kelantan dilihat dan mesti dilihat mendepani usaha ini.

Gagasan kepimpinan ulamak telah ditegas puluhan kali oleh Presiden PAS sama ada di era  Tuan Guru Yusuf Rawa,  Datuk Fadhil Nor dan kini Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang.

Gagasan ini bukanlah usaha mengenepikan profesional dan hanya mengambil ulamak sahaja sebagai pemimpin. Kerana di PAS, kita mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulamak.

Gagasan ini sangat besar ertinya kerana dasar dan sumber tertinggi rujukannya parti ialah al Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qisas, maka kepimpinan tertinggi mestilah terdiri dari mereka yang boleh meletakkan sumber ini dalam memperkukuhkan hujah dan pandangannya, bukan semata-mata menggunakan akal fikiran yang bersifat nisbi ini.

Inilah keistimewaan PAS sebagai parti Islam yang semua pihak telah menerima kepimpinan ulamak sebagai dasar dan gagasan parti.

Tidak timbul ada pihak yang menolak atau menentangnya kerana inilah keputusan kita dalam muktamar, sebagaimana gagasan kita bersetuju bersama Pakatan Rrakyat  dan tidak bersama Umno, juga adalah keputusan dalam muktamar.

Maka jangan ada pihak yang cuba melaga-lagakan pimpinan dan ahli dengan pelbagai tuduhan, dan menimbulkan persepsi buruk pada pimpinan, yang akhirnya hanya mengembirakan musuh dan merugikan parti.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah naib presiden PAS
 

Tiada ulasan: