Ahad, 22 Februari 2015

Dewan Ulama silap pilih musuh berperang, kata PasMa

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMA) menyifatkan tindakan Dewan Ulama PAS melancarkan “perang” terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai salah memilih musuh politik.
 
Ini kerana menurut presidennya Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, PAS sepatutnya berperang dengan musuh politik parti itu yakni Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Dia (Ulama) silap musuhlah nak berperang, mereka sepatutnya perang dengan Umno-BN.
 
"Dia patut lancar perang dengan musuh politik sebagai parti politik dia tak perlu lancar perang dengan NGO. Silap musuh itu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah, Phahrolrazi turut mempersoalkan bagaimana PasMa boleh memecah-belahkan PAS sedangkan mereka sedia maklum parti yang memperjuangkan Islam itu telah mengeluarkan arahan agar ahlinya dilarang untuk terlibat dengan aktiviti anjuran NGO tersebut.
 
"Bagaimana PasMa boleh pecah belahkan PAS? Sebab dia sebuah NGO, dia tidak boleh pecah-belahkan PAS dan PAS sendiri telah mengeluarkan larangan kepada ahli pimpinanya supaya tidak menyertai (aktiviti PasMa) dan kita pun dah tak jemput pimpinan PAS untuk hadir program kami," jelasnya.
 
Beliau juga hairan, kenyataan seperti apakah yang mendakwa ahli PasMa bertindak menyerang dan melanggar dasar PAS, bahkan lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Kenyataan bagaimana yang kata kami (PasMa) menghina (presiden)? Sebab dia orang pun tak spesifik. Apa kenyataan yang menghina presiden PAS itu? Kenyataan yang macam mana yang agak menghina (presiden) setakat ini? solanya.
 
Dewan Ulama PAS hari ini melancarkan “perang” terhadap PasMa, menggesa Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahlinya yang terlibat dalam gerakan itu.
 
Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata, PasMa secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan Majlis Syura Ulama sendiri mengeluarkan arahan agar ahlinya tidak terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
 
Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata beliau tidak nampak sejauh mana penglibatan PasMa mampu mengucar-kacirkan PAS.
 
"PasMa ini sebenarnya dia duduk diluar parti dan bukan di dalam parti politik, dia ditubuhkan secara bersendirian. Dia bergiat sebagai pertubuhan yang sah. Itu kedudukan PasMa.
 
"Saya lihat dari segi peranan kita dan mengikut Perlembagaan PAS tidak menghalang untuk penubuhan NGO, bekerjasama dengan NGO. Sebab NGO ini bukan parti politik dan peranannya di luar daripada parti.
 
"Saya pun tak nampak sebab apa mereka hendak meneruskan permusuhan dengan PasMa, PasMa tak terlibat dalam mengucar-kacirkan PAS," katanya.
 
Jelasnya lagi, kehadiran PasMa hanyalah untuk menimbulkan kesedaran serta membina jambatan ukhwah di kalangan penyokong perikatan itu sahaja.
 
"Program kita diteruskan sebab ia dengan PR. Program kita adalah hendak menimbulkan kesedaran, hendak menjadi jambatan antara penyokong PR dengan kepimpinan PR. Cuma PAS sahaja yang tidak mahu sertai (PasMa). 
 
"Parti-parti lain sertai program dengan mengadakan dialog dan sebagainya. Jadi, saya tak nampak sebab apa pula nak lihat PasMa ini boleh kucar-kacirkan PAS..
 
"Saya lihat sejak daripada awal lagi sudah ada satu stigma, penubuhan PasMa ini dikaitkan dengan pertentangan golongan dalam PAS. Sebenarnya kita bebas daripada mana-mana golongan parti ini memang ada golongan yang bertentangan dengan satu sama lain. 
 
"Sebenarnya kita diluar dan kini terseret dengan isu dalaman PAS seperti isu pemilihan dan sebagainya walaupun kita jelas (PasMa) tidak ada mekanisma untuk terlibat dalam pemilihan parti. Jadi, kita tidak terlibat sebenarnya," tambahnya.

Tiada ulasan: