Gambar hiasan - Foto Bernama Gambar hiasan - Foto Bernama
 
 
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti 10 jalan utama di negeri ini sebagai berisiko kemalangan maut setiap kali musim perayaan.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie berkata jalan berkenaan ialah di tiga di Kemaman, masing-masing dua di Dungun dan Setiu, dan masing-masing satu di Marang, Kuala Nerus dan Besut.

Jalan terbabit ialah di KM 138 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Cheneh, Kemaman), KM 107 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kg Labohan, Kemaman), KM 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (hadapan Stesen Penguat kuasa Kijal, Kemaman), KM 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Simpang Tanjung Jara, Dungun) dan KM 75 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (hadapan stesen penguat kuasa Bukit Besi, Dungun).

Katanya jalan lain ialah di KM 68 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (Jalan Pantai Kampung Saujana, Setiu), KM 74 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (hadapan Stesen Penguat kuasa Air Sejuk, Setiu), KM 30 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Pulau Kerengga, Marang), KM 30 Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu (Kampung Lingai, Kuala Nerus),dan KM 90 Jalan Kuala

Terengganu-Kota Baharu (Kampung Anak Ikan, Besut).

Justeru, katanya, JPJ meningkatkan pemantauan berkala di semua lokasi terbabit yang sering menyumbang kepada kadar kemalangan di negeri ini.

"Tumpuan yang lebih akan diberikan kepada lokasi kerap berlaku kemalangan ini dan kita juga telah memulakan Ops Statik sebagai satu usaha dan langkah pencegahan.

"Lazimnya bilangan kenderaan akan bertambah khususnya apabila dekat dengan musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini. Jadi anggota kita akan bertugas selama 16 jam di lokasi yang dikenal pasti," kata Abdul Rahman kepada pemberita selepas melancarkan Ops Motosikal di sini, malam tadi.

Dalam ops tersebut yang dijalankan di Jalan Batu Buruk di sini selama tiga jam hingga 12 tengah malam tadi, sebanyak 55 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan selain turut menyita sebuah motosikal yang tamat tempoh cukai jalan dan kereta klon.

Abdul Rahman berkata, JPJ akan memantau di jalan-jalan yang telah dikenal pasti dari 12 hingga 27 Feb ini bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya, sekali gus memberi kesedaran bahawa terdapat anggota JPJ mengadakan pemantauan.

"Antara kesalahan yang diberi tumpuan oleh JPJ seperti pemandu atau menunggang motosikal gagal mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar, memotong garisan berkembar serta memotong di garisan berkembar," katanya.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga turut mengadakan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan semua bas yang digunakan berada dalam keadaan selamat.

Jelasnya, pihaknya juga meneruskan penguatkuasaan secara penyamaran sebagai penumpang ekpress bagi mengesan pemandu bas yang melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama