Ahad, 11 Januari 2015

Yuran sekolah percuma, mohon budi bicara kerajaan



   

DETIK DAILY


WALAUPUN sesi persekolahan tahun 2015 ditunda kepada 11 dan 12 Januari , masalah untuk meneruskan alam persekolah amat sukar bagi mangsa-mangsa banjir. Kita sedia maklum, sekiranya tidak berlaku banjir sekalipun, terdapat ramai ibu bapa yang berdepan dengan masalah besar dalam menyediakan barangan keperluan sekolah anak-anak di samping yuran-yuran yang sangat membebankan mereka.

Kenaikan caj perkhidmatan bas sekolah, kenaikan pelbagai harga barangan peralatan sekolah dan sebagainya menyebabkan ada ibu bapa yang terpaksa meminjam, melakukan dua tiga kerja dalam sehari semata-mata untuk menyediakan keperluan sekolah anak.
Akhirnya terdapat masalah lain yang menimpa mereka, termasuk masalah kesihatan kerana melakukan kerja tidak henti-henti dan masalah sosial anak-anak yang terbiar kerana kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk menyekolahkan anak-anak. Apatah lagi kini berlaku banjir besar, maka beban berganda tersandar di bahu mereka. Menyelami masalah tersebut Presiden NGO Pendidik, Normala Sudirman yang diwawancara Wartawan Harakah, ROY RASUL berkata bagi meringankan beban mangsa banjir tidak ada salahnya jika keperluan untuk yuran ataupun peralatan sekolah dan sebagainya diberi percuma. Ikuti wawancara bersama beliau

WARTAWAN: Mala petaka banjir yang berlaku di negara ini khususnya di Kelantan sangat dahsyat. Dalam keadaan itu semestinya ibu bapa yang mempunyai anakanak bersekolah akan bertambah sengsara untuk meneruskan hidup. Sebagai Presiden NGO Pendidik, apa pandangan saudari? 

NORMALA: Kita mengharapkan mudahmudahan mangsa banjir terutamanya di Pantai Timur tabah menempuh dugaan dan sabar dengan ujian yang menimpa itu.

Insya-Allah, Allah akan memberi ganjaran pahala sabar kepada mereka dalam ujian yang hebat itu.
Kita juga mengharap tanggungjawab kerajaan pusat agar prihatin terhadap mangsa banjir itu bukan sahaja daripada aspek persediaan awal tahun anak-anak untuk ke sekolah tetapi prasarana seperti buku-buku ataupun pakaian dan sebagainya.

Namun, bagaimana pula dengan ibu bapa yang terpaksa membayar yuran dan lain-lain.

Jadi kita mengharapkan ada budi bicara untuk penangguhan sekiranya kewangan tidak mencukupi untuk mangsa banjir membayar yuran menyediakan barangan persekolahan anak-anak ataupun buku, alat tulis dan sebagainya. Ini kerana mereka hadapi trauma yang hebat bukan sahaja dari segi emosi tetapi kehilangan keseluruhan termasuk ada rumah yang hanyut.

Sudah pasti ini memerlukan keprihatin daripada kerajaan pusat, Kementerian Pelajaran dan juga di samping kerajaan negeri berusaha membantu memulih kesemuanya dalam waktu terdekat.

Dalam pada itu budi bicara terletak di tangan pihak sekolah atau kementerian.

Sekiranya ini ruang untuk meringankan beban mangsa banjir tidak ada salahnya jika keperluan untuk yuran ataupun alat tulis, buku sekolah, buku kerja dan sebagainya diberikan percuma. Ini yang dikatakan matlamat pendidikan percuma kepada rakyat. Maknanya ia bermula di sini dan ini akan dilihat lebih menjiwai denyut nadi rakyat. Ini kerana Malaysia boleh belanja wang berjuta untuk dua ekor panda kenapa tidak kepada mangsa banjir seperti.

Kerajaan ada umumkan akan memberi bantuan kepada mangsa banjir contohnya akan percepatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).Pada pandangan saudari bantuan seperti ini memadai atau tidak dengan musibah yang menimpa mereka?
 
Secara rasional atau logiknya ia tidak mencukup hanya dengan bantuan BR1M. Sebabnya dengan bantuan ‘one off’ secara terus begitu tidak mencukupi. Sebenarnya rakyat mengharapkan lebih daripada itu terutama ibu bapa atau rakyat yang susah mengharapkan bantuan yang lebih daripada itu.

Bukan sahaja BR1M tetapi prasarana yang lain perlu diambil kira tentang keprihatinan kerajaan.

Maknanya slogan rakyat didahulukan bukan retorik semata-mata tetapi perlu direalisasikan serta membuat tindakan untuk membantu.Satu lagi yang perlu diberi keprihatinan daripada Kementerian Pelajaran ialah warga pendidik yang menanda kertas soalan kerana mereka juga terlibat dengan mangsa banjir.

Keprihatinan pentadbir sekolah dan Kementerian Pelajaran sangat penting dan perlu mengambil kira kebajikan bukan sahaja kepada anak-anak sekolah tetapi juga warga pendidik.

Ini kerana sebahagian sekolah masih menjadi pusat pemindahan banjir.Prasarana itu juga perlu diambil kira oleh kementerian dan kerajaan pusat untuk meringankan beban rakyat tidak kira golongan sama ada pendidik, pelajar dan ibu bapa. Mereka ini penting dalan sisem pendidikan negara.
 
Baru-baru ini kerajaan umum akan siapkan sekolah-sekolah yang rosak dalam banjir tempoh hari dengan cepat.Jadi apabila dipercepatkan ia dibimbangi akan berlaku perkara yang tidak diingini sebagaimana terjadi dalam projek makmal sekolah yang banyak runtuh. Jadi pemantauan perlu dibuat kerajaan, apa pandangan saudari?

Saya bersetuju bahawa kerajaan perlu pantau persediaan prasarana yang akan dibina semula. Ini kerana kita mahu audit dibuat dengan telus dan kita tidak mahu projek yang dilakukan itu ada agenda di sebalik itu seperti diberi kepada kroni umpamanya.Kita mahu saluran itu betul-betul diberi kepada rakyat.

Ia juga perlu ada ketelusan, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dari semua pihak termasuk kementerian dan kerajaan pusat melihat perkaraperkara seperti itu. Selain itu kita juga minta saluran sama ada dalam bentuk kewangan atau bentuk barang keperluan kepada rakyat khususnya di Pantai Timur yang ditimba bencana banjir itu jangan ada karenah teknikal biro karenah birokrasi yang ada sentimen politik kepartian yang dicampur-aduk dalam sistem pendidikan antarabangsa.

Contohnya perlunya ditampal logo dan sebagainya kerana proses tersebut akan melambatkan usaha untuk memulihkan emosi, prasarana yang dibuat dan sebagainya.Maknanya karenah birokrasi campur tangan politik kepartian kita tidak mahu diangkat sangat dalam keadaan sangat memerlukan perhatian daripada kerajaan pusat khasnya.
 
Sebagai orang yang berpengalaman dalam bidang pendidikan apa bantuan yang saudari lihat perlu diberikan oleh kerajaan kepada murid-murid dan para guru ketika mereka menghadapi musibah seperti itu?

Kami dari NGO Pendidik melihat murid-murid bukan sahaja memerlukan bantuan perbelanjaan persekolahan dalam keadaan ibu bapa tidak dapat bekerja malah mereka memerlukan khidmat kaunseling.Ini kerana mereka mengalami trauma yang maha hebat dan mungkin anak-anak ini akan terganggu dari segi persediaan mereka hendak belajar kerana bersedih dan sebagainya.
 
Apa tindakan daripada NGO Pendidik dalam membantu mangsa banjir khususnya para pelajar?

NGO Pendidik meluluskan beberapa peruntukkan dalam waktu terdekat dalam satu misi kemanusiaan ke Pantai Timur berupa barangbarang keperluan, pakaian dan wang tunai.Kita juga akan menziarah seorang guru yang terkorban dalam banjir di Terengganu barubaru ini semata-mata mahu menyelamat kertas soalan peperiksaan. Kami akan menyantuni anak-anaknya yang seramai enam orang itu.

Paling meninggal kesan kepada kami, pengorbanan seorang warga pendidik, Nurhayati Sulong yang meninggal dunia dalam tragedi banjir itu. Kita akan turun bersama dengan peruntukan yang besar daripada NGO Pendidik untuk menyantuni mangsa banjir iaitu anak-anak yang bersekolah dan warga pendidik yang diuji dengan ujian hebat itu.

Harapan NGO Pendidik terhadap masyarakat dalam membantu mangsa banjir khususnya warga pendidik dan murid untuk menghadapi alam persekolahan tahun 2015 ini.

Saya mengharapkan supaya warga pendidik, ibu bapa dan juga anakanak yang bersekolah tabah menempuh ujian dan dugaan oleh Allah SWT. Banyakkan berdoa dan mudah-mudahan Allah akan mengganti dengan yang lebih baik pada masa akan datang.

Kami juga akan terus menghantar bantuan dari masa ke semasa melalui akaun pengurusan NGO Pendidikan yang diwujudkan beberapa ketika yang lalu. Melalui tabung kewangan ini kita akan terus menyantuni warga pendidik dan juga anak-anak yang bersekolah.

Sekiranya para dermawan ingin menyumbang kita sangat mengalu-alukan di atas keprihatinan mereka dan sumbangan boleh dihulurkan melalui akaun Pendidik Managemant: 562834629323 (Maybank Islamic)

Tiada ulasan: