Jumaat, 23 Januari 2015

Video Zamani Slam bukti salahlaku polis

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Penyebaran video penyanyi kumpulan popular 90an, Zamani Slam yang dipaksa menyanyi dalam keadaan bergari menjadi bukti salahlaku anggota polis.

Ahli  Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, beliau mengecam layanan buruk terhadap penyanyi itu dan menuntut tindakan tegas diambil kepada anggota polis terlibat.

zamani02
Penyanyi kumpulan Slam, Zamani yang pernah popular pada 1990 an.

“Ini memang penyalahgunaan kuasa yang serius dan menunjukkan mereka tidak hormat kepada hak asasi rakyat.

“Pihak berkuasa perlu serius ambil tindakan, jadi saya tuntut supaya semua anggota polis yang terlibat digantung serta-merta sambil menunggu siasatan penuh,” katanya ketika dihubungi.

Video sepanjang 23 saat yang tersebar di laman sosial memaparkan Zamani  disuruh menyanyi dalam keadaan tangan bergari, selepas ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah.

Ekoran itu tindakan polis terbabit  mendapat kritikan dan kecaman warga internet.

Selain itu, Surendren berkata layanan buruk terhadap Zamani membuktikan wujud kes-kes dimana suspek didera ketika dalam tahanan.

“Ini juga boleh bawa kepada insiden dera suspek disebabkan perbuatan tidak berdisplin anggota polis dan juga boleh membawa kepada suspek dibunuh,”

“Pihak berkuasa perlu faham bahawa tidak semestinya apabila ditangkap tertuduh itu bersalah sehingga mereka dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya yang juga peguam Lawyers For Liberty (LFL).

Tambahnya, ia juga menjadi sebab mengapa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), perlu ditubuhkan segera.

Setakat ini, sebanyak 14 kes kematian dalam tahanan sepanjang tahun lalu dan sebanyak 111 kes sejak 2005.

Antara kes popular adalah kematian A Kugan di lokap polis di Subang Jaya pada 2009, selain kes N Dhameran yang mati dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pada 2013.
Sepanjang 2014, sebanyak 14 kes kematian dalam tahanan polis telah direkodkan oleh NGO hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Tiada ulasan: