Isnin, 19 Januari 2015

[VIDEO] Selepas P.Pinang, Selangor Pula Pertimbang Tawar Pekerjaan Untuk Mejar Zaidi

KELAB GREENBOC



 

Azmin: Selangor Sedia tawar pekerjaan Mejar Zaidi

SHAH ALAM, 16 JAN: Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang dibuang kerja.

Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata demikian bagi mengulas tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang menawarkan pekerjaan kepada Zaidi.

"Kita boleh mempertimbangkan untuk menawarkan pekerjaan kepada beliau," katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Sementara itu bagi mengulas tindakan Mejar Zaidi yang berhajat untuk menyertai Pakatan Rakyat, Mohamed Azmin berkata beliau mengalu-alukan penyertaan Zaidi.

Katanya, adalah hak individu dalam sistem demokrasi untuk menyertai mana-mana parti.

"Saya percaya beliau mempunyai peranan untuk menyuburkan sistem demokrasi di negara ini," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Mejar Zaidi sebelum ini diberhentikan kerja ekoran mempersoalkan keberkesanan sistem dakwat kekal pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Beliau didapati bersalah melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dengan memberi kenyataan media tanpa kebenaran. -selangorku


Mejar Zaidi ditawarkan pekerjaan di Pulau Pinang

Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera baru-baru ini mungkin akan diambil bekerja di Pulau Pinang.

Memetik laporan sebuah portal berita hari ini, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd Rashid Hasnon dikatakan, sedang mencari peluang pekerjaan bagi membantu bekas pegawai tentera itu.

Menurut Mohd Rashid, buat masa kini, pihaknya masih meninjau kekosongan pekerjaan di kawasan Bertam atau Tikam Batu.

"Dia adalah kawan rapat saya dan ini masanya untuk saya bantu rakan yang memerlukan.

"Kami akan mempertimbangkan untuk menawarkan dia kerja dalam NGO mungkin," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Mejar Zaidi dibuang kerja 12 Januari lalu selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.

Zaidi mencetuskan kontroversi semasa pilihan raya umum lepas Mei 2013 apabila beliau memberitahu media bahawa dakwat kekal yang digunakan boleh dikeluarkan dengan mudah.

"Akan ada peluang untuk Zaidi di mana beliau secara aktif boleh menyumbang kepada rakyat," kata Rashid, sambil menambah bahawa pada masa ini tiada kekosongan jawatan di pejabatnya.
-SH

Zaidi Pilih Pakatan Rakyat Jika Ceburi Bidang Politik

Bekas Pegawai Tentera Udara Udara Diraja Malaysia (TUDM), Zaidi Ahmad mengakui akan memilih Pakatan Rakyat sekiranya menceburi bidang politik selepas ini.

"Sudah tentu saya akan memilih Pakatan Rakyat tetapi parti mana....biarlah menjadi rahsia," jelasnya kepada The Star melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada Sabtu.

Menjawab kepada laporan mengenai kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang bersedia menawarkan pekerjaan kepadanya, Zaidi berkata dia perlu mengkaji dahulu tawaran tersebut.

"Saya akan berjumpa dengan wakil-wakil negeri Selangor dan Pulau Pinang dan berhati-hati menilai tawaran itu.

"Jika tawaran sesuai, saya akan menerimanya," kata Zaidi.

Bagaimana pun, katanya buat masa sekarang dia mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan.

"Buat masa sekarang saya mahu beri fokus kepada perniagaan jualan langsung dan mahu menyambung menulis buku.

"Buku saya seterusnya akan berkisarkan mengenai isu pertahanan dan perbicaraan saya ," jelasnya yang baharu menerbitkan travelog mengenai ibadah Haji.

Pada Isnin lalu, Zaidi dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.

Dia dikaitan dengan kesalahan melanggar arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara.

Zaidi didakwa membuat kenyataan media mengenai dakwat kekal itu tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan di Balai Polis Kepala batas pada 1 Mei 2013.

Dan turut didakwa menyiarkan maklumat rasmi surat pemindahan tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang, pada 3 Mei 2013.
-mstar

LIHAT VIDEO DI SINI
 

ULASAN GB

Demikianlah rahmat dan rezeki yang dilmpahkan olehNya kepada orang yang tetap berdiri di atas KEBENARAN.

Rezeki itu di tangan Allah s.w.t. bukan di tangan manusia, jauh sekali di tangan UMNO/BN.

Mereka yang ada kuasa kini boleh menggunakan kuasa mereka membuang kerja Mejar Zaidi, tetapi mereka itu sendiri tidak tahu bahawa Allah berhak pada satu hari nanti mencabut dan menarik rezeki daripada mereka yang zalim dan kejam itu.

Kita doakan agar Allah mempermudahkan kehidupan Mejar Zaidi dan keluarganya...

Tiada ulasan: