Ahad, 11 Januari 2015

Tiada Kotak Hitam Di Dalam Ekor Pesawat QZ8501

MSTAR ONLINE
 
 
Ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditarik oleh kapal Crest Onyx.
 
 
 
JAKARTA: Bahagian ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa berjaya dibawa naik ke permukaan laut dengan menggunakan beg pelampung tetapi malangnya tiada kotak hitam ditemui didalamnya, kata pihak berkuasa Indonesia.

Pesawat Airbus yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu dilaporkan terhempas berikutan cuaca buruk ketika dalam perjalanan dari Surabaya menuju ke Singapura pada 28 Disember lalu.

Kesemua penumpang dilaporkan maut.

Bahagian ekor pesawat, lokasi penyimpanan kotak hitam pesawat itu ditemui dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam dasar laut pada kedalaman 30 meter.

Ia berjaya dibawa naik ke permukaan laut menggunakan kaedah pengapungan dengan enam beg pelampung dan ditarik oleh kapal Crest Onyx.

Keadaan ekor pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang berjaya dibawa naik ke atas kapal. 

"Kami berjaya membawa naik ekor pesawat itu ke atas kapal. Ia berwarna merah dan putih dan sebahagian besar logo AirAsia jelas kelihatan," kata seorang jurucakap Tentera Laut Indonesia, Manahan Simorangkir.

Ekor pesawat itu adalah serpihan besar pesawat yang ditemui dan dipercayai boleh merungkai misteri kemalangan pesawat tersebut.

Namun, menurut Pengarah Operasi Basarnas, Marsma SB Supriyadi, kotak hitam, yang merakamkan segala perbualan juruterbang di dalam kokpit mungkin tertanggal daripada ekor pesawat tersebut.

Isyarat ping yang dipercayai dihantar oleh kotak hitam pesawat tersebut pada Jumaat menguatkan lagi harapan ia akan ditemui bersama ekor pesawat tersebut.

Namun, misi pencarian agak mengecewakan apabila pihak berkuasa menyedari isyarat ping itu datang dari arah lain dan bukannya di dalam ekor pesawat tersebut.

Kotak hitam itu dipercayai terbenam jauh di dasar laut yang berselut.

Tiada ulasan: