MALAYSIAKINI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan rakyat Malaysia yang terlibat dengan kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikenali sebagai kumpulan '14K Triad'.
Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya mengesahkan
bahawa tidak wujud kumpulan tersebut di Malaysia dan sekiranya terdapat
rakyat Malaysia menganggotai kumpulan itu di luar negara, ia di luar
perundangan negara ini.
"KDN tidak bersimpati walaupun individu berkenaan rakyat Malaysia dan
kita (KDN) juga tidak akan berkompromi sekiranya seseorang itu terlibat
dalam aktiviti perjudian atau kongsi gelap," katanya kepada pemberita
selepas melawat 1,115 mangsa banjir dari 297 keluarga di pusat latihan
UITM Sungai Galah di Pasir Salak hari ini.
Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini sedang dalam tahanan
rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara
itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan
kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.
Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional,
pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam
Siri Poker Dunia 2012.
Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final
Monte Carlo‚ 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat
dengan kegiatan kongsi gelap ‘14K Triad’.
Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld
telah memohon Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah
FBI, Mark F. Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang
ahli ‘14K Triad’ dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di
Malaysia.
Ahmad Zahid berkata kes tersebut sedang dibicarakan di mahkamah Amerika
Syarikat, maka pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan yang
akan mempengaruhi sebarang keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah
negara itu.
"Kerajaan Malaysia terutama KDN dan (Polis) Bukit Aman berpihak kepada perundangan.
"Jika tertuduh dikenakan pertuduhan dan mahkamah memutuskan sebarang
keputusan, maka peraturan dan perundangan negara berkenaan hendaklah
dipatuhi," katanya.
Mengenai banjir yang melanda di beberapa negeri, Ahmad Zahid berkata KDN
sedang membuat taksian kerugian akibat kemusnahan yang dialami termasuk
berek dan balai polis.
"Jumlah sebenar kerugian tidak dapat dikenal pasti kerana banjir masih berlarutan," jelasnya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan