Ahmad Razif Abd Rahman Ahmad Razif Abd Rahman
 
 
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menyediakan laporan dokumentasi mengenai pengurusan banjir daerah Kemaman yang mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri mendapat mandat daripada perdana menteri untuk menyediakan dokumentasi itu bagi dijadikan model ikutan kepada negeri-negeri terlibat banjir pada masa akan datang.

"Insya-ALLAH, sebaik sahaja mendapat laporan penuh dan membuat post mortem pada awal Februari, kami akan mula menyediakan dokumentasi itu.

"Tumpuan kerajaan negeri pada tahun lalu ialah di daerah Kemaman dan penghargaan yang diberikan perdana menteri itu akan menjadikan kita lebih bersedia untuk membuat persiapan menghadapi banjir seawal April depan dan kali ini persediaan dibuat di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita sempena majlis angkat sumpah Datuk Bandar Kuala Terengganu, Pegawai Kewangan Negeri dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu di sini, hari ini.

Dalam lawatan perdana menteri ke Kemaman baru-baru ini, beliau memuji pengurusan banjir di Kemaman yang disifatkan berada pada tahap terbaik merangkumi pelbagai aspek bantuan terutama dari segi prosedur operasi standard yang diselaraskan dengan baik.

Antara penambahbaikan yang dibuat di Kemaman ialah memulakan mesyuarat pengurusan bencana daerah seawal April serta simulasi banjir pada bulan November, pembinaan tiga tempat pendaratan helikopter di kawasan yang terputus hubungan darat dan persediaan penduduk Kemaman sendiri yang tahu mengenai tindakan yang perlu dilakukan sebaik daerah itu dilanda banjir.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk meneruskan projek tebatan banjir dan pada masa sama menambah baik pelan pengurusan banjir di Kemaman dalam dokumentasi itu nanti.

"Kami mahukan pengurusan banjir sentiasa berada pada tahap terbaik, malah turut bersedia dengan apa juga bencana termasuk melatih sukarelawan khas yang akan didaftarkan dengan peruntukan khas untuk mereka," katanya. - Bernama