SEKALI lagi banyak pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan. Tidak kurang yang berasa resah dan bersalah.

Saya merujuk kepada insiden terbaharu di mana beberapa gadis Islam bertudung yang merelakan diri dipeluk dan dicium anggota lelaki kumpulan K-Pop, B1A4 dari Korea Selatan semasa konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Membaca kenyataan, penjelasan dan kritikan yang memenuhi akhbar dan laman sosial sebaik sahaja klip video perlakuan tidak senonoh itu tersebar, saya tidak hairan kenapa pelbagai pihak tampil untuk mengecam mereka yang terlibat dan berusaha memberi jalan keluar supaya ia tidak berulang.

Saya boleh faham perasaan mereka kerana kes ini sesuatu yang serius, memalukan dan menyedihkan. Ia tidak patut berlaku sebenarnya.

Usaha mereka yang meluahkan perasaan melalui laman sosial atau media patut dihargai.

Langkah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan sewajarnya berhubung penganjuran konsert K-Pop itu adalah sesuatu yang perlu dilihat secara objektif. Jawi pun sudah memulakan tugasnya itu.

Alhamdulillah, cuma diharap siasatan dan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin.

Biarlah insiden ini menjadi pengajaran terakhir kepada penganjur program-program berbentuk konsert dan hiburan di negara ini serta masyarakat, terutama anak-anak muda beragama Islam.

Kita tidak mahu lagi satu demi satu insiden memalukan dan tidak senonoh seperti ini berulang.

Tentu kita masih ingat insiden tahun lalu di mana gadis-gadis Melayu Islam yang bertudung menjadi antara yang terlibat dengan kes kontroversi memeluk anjing hingga mencetuskan kecaman. Cukuplah!

Saya tidak sabar mendengar keputusan daripada kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha bahawa Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara akan panggil penganjur konsert berhubung kes yang mencalarkan imej itu.

Memang tepat, seperti katanya, dalam kes ini, penganjur tidak boleh lepas tangan.

Kalau benar Jakim telah mengambil inisiatif menerbitkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam sejak 2007, insiden yang memalukan seperti itu tidak seharusnya berlaku dengan semudah itu.

Kita tidak mahu dengar lagi penganjur memohon maaf dan berjanji akan mengambil kira soal budaya dan agama atau sebagainya apabila berlaku insiden tidak bersopan dalam konsert mereka.

Dalam kes terbaharu ini, penganjur menjelaskan peminat-peminat naik ke pentas untuk mendekati anggota kumpulan K-Pop B1A4 itu dipilih secara rawak, pengacara majlis turut mengarahkan peminat supaya tidak menyentuh atau berada hampir dengan anggota kumpulan itu.

Kalau demikian, bagaimana insiden seperti itu boleh berlaku? Kalau penganjur tidak bersalah, siapa pula patut dipersalahkan? Kita tunggu dan lihat.

Pada masa yang sama, kita tidak boleh nafikan insiden begini menunjukkan betapa lemahnya pendirian atau pegangan segelintir anak gadis kita.

Di satu sudut, mereka bertudung, tetapi di satu sudut lagi boleh dipeluk dan dicium lelaki, bahkan di hadapan khalayak.

Saya percaya dengan apa yang berlaku, gadis-gadis yang terlibat itu tentu resah gelisah, dan menangis sendiri-sendiri mengenangkan perlakuan mereka, yang daripada apa yang dilihat dalam rakaman video, sebagai sesuatu yang terjadi secara tidak sengaja, spontan, tidak dijangka serta tidak dirancang.

Tidak tahulah apakah mereka malu tapi mahu, atau tidak mahu tetapi memberi ruang kerana lupa untuk membezakan antara baik dan buruk apabila berada di bawah sinaran lampu dan di hadapan ramai penonton yang bersorak dan bertepuk tangan.

Tetapi yang pasti, hanya kerana sedikit perbuatan yang memalukan, ramai daripada mereka tidak akan dapat nyenyak untuk tempoh masa yang lama atas apa yang telah mereka lakukan secara sukarela atau tidak.

Mereka juga tentu sedar betapa tidak gunanya penyesalan kerana perbuatan yang mereka relakan itu akan menjadi arkib dalam laman sosial yang boleh ditonton pada bila-bila masa oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia selama-lamanya.