Jumaat, 9 Januari 2015

Syabu: Polis tahan pegawai khas ADUN S'wak

MALAYSIAKINI


 


Polis semalam mengesahkan seorang pegawai khas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak ditahan reman empat hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan kes berkaitan dadah.
  
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan berhubung penemuan 0.4g dadah dipercayai syabu yang disembunyikan di pusat khidmat wakil rakyat berkenaan di sebuah kawasan persisir pantai di bahagian tengah negeri ini.
  
Mahkamah mengeluarkan perintah reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dan mengambil dadah terlarang.
  
"Hasil siasatan awal, kami tidak menolak kemungkinan dadah yang ditemui adalah untuk kegunaan suspek sendiri. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dia terlibat dalam kegiatan pengedaran bahan terlarang itu," katanya ketika dihubungi.
  
Penahanan lelaki itu dibuat dalam serbuan pada 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah ke atas pusat khidmat seorang wakil rakyat tersebut yang terletak 70km dari Mukah berikutan aduan awam mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah.   
-Bernama

Tiada ulasan: