Khamis, 22 Januari 2015

Shamsul hadir ke SPRM beri keterangan kes Daim

Oleh: Ermizi Muhamad


Putrajaya  : Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung dakwaannya yang mengaitkan kekayaan luar biasa Tun Daim Zainuddin.

Beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM ditemani Ketua Penerangan KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh kira-kira jam 12.00 tengah hari dan selesai memberi keterangan dua jam kemudian.

Ketika ditemui pemberita di luar bangunan SPRM, Shamsul memaklumkan beliau mengemukakan salinan dokumen tambahan untuk mengukuhkan lagi dakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

Beliau memberi keterangan di bawah seksyen 30 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 ekoran laporan yang dibuatnya April tahun lalu, berdasarkan pendedahan Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim.

“Pertamanya soal penglibatan beliau (Daim) dengan bank-bank yang disebut sebagai International Commersial Bank (ICB) yang pernah didedahkan Anwar dalam beberapa siri kempen pilihan raya Kajang yang lalu.

“Keduanya, berkenaan laporan polis bertarikh 30 Julai 1999 yang juga telah jelaskan kepada pihak SPRM bahawa saya sebagai individu pertama membuat laporan dan mengemukakan aduan (ke atas Tun Daim),” katanya kepada pemberita.

Shamsul turut memaklumkan, SPRM telah menghubungi Anwar untuk  mengambil keterangan Ketua Pembangkang itu.

“Saya yakin Datuk Seri Anwar akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan kes ini disiasat dan mendesak supaya Tun Daim dibawa ke muka pengadilan,” jelasnya.

Daim Zainuddin sebelum didakwa memiliki wang berbilion-bilion dalam bank di Afrika dan Eropah Timur dan menguasai ICB Financial Group Holding Ltd yang menguruskan bank komersial di 12 buah negara termasuk di Asia, Afrika dan Eropah Timur.

Beliau juga didakwa pernah memiliki 151,844,00 unit saham dalam ICB yang mewakili kepentingan 84.4 peratus.

Susulan itu, tiga laporan polis dibuat pada awal tahun lalu dan gesaan agar SPRM tidak bertindak selektif untuk menahan mana-mana individu yang terlibat dalam penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: