Sabtu, 24 Januari 2015

Seorang maut, 4 parah MPV langgar lori

MALAYSIAKINI


Seorang lelaki maut manakala empat sekeluarga parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di KM107 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara, di Alor Setar, hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Khalil Arifin berkata dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Muhamad Asyran Mohd Najib, 20, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
  
Empat sekeluarga yang cedera parah ialah pemandu Nissan Grand Livina Mohd Fauzan Mohd Zaini, 22, adiknya Mohd Naufal, 20, ayah serta ibunya, Mohd Zaini Zainol Abidin, 52, dan Narizah Ismail, 52.
  
Muhamad Asyran merupakan rakan kepada Mohd Fauzan.
  
Ketika kejadian semua mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Jitra dan kenderaan MPV berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapan, namun gagal, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Khalil, kenderaan itu gagal memotong lori berkenaan kerana terdapat kenderaan lain yang datang dari arah belakang sebelum MPV itu masuk semula ke laluan asal sebelum melanggar belakang lori berkenaan.
  
Akibat pelanggaran itu, MPV berkenaan terperosok di bahagian belakang lori sebelum diseret sejauh 150 meter, katanya.
  
Mayat Muhamad Asyran dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk dibedah siasat sementara mereka yang cedera dirawat di hospital sama.
  
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.-Bernama
 

Tiada ulasan: