Antara barangan makanan dan pakaian yang dikumpulkan pihak IKIM dan IAM untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang dan Kelantan. Antara barangan makanan dan pakaian yang dikumpulkan pihak IKIM dan IAM untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang dan Kelantan.
 
 
KUALA LUMPUR - Kira-kira tiga kawasan banjir di Pahang dan enam di Kelantan akan menerima bantuan bekalan dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Islamic Aid Malaysia (IAM) selewatnya esok.

Antara kawasan yang akan menerima bantuan tersebut adalah Tanah Merah, Rantau Panjang, Pasir Mas, Pulau Chondong, Kuala Krai, Kubang Kerian, Temerloh, Kuantan, dan Jerantut.

Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, bantuan tersebut akan diberikan kepada mangsa-mangsa yang terkesan dari bencana banjir.

"Bantuan dan bekalan tersebut merupakan hasil sumbangan orang ramai, IAM dan pendengar radio IKIM.

"Setakat ini kami menerima bantuan dari orang ramai berupa barangan makanan seperti beras, makanan segera, sardin, dan keperluan asas seperti ubat gigi, tuala, selimut, lilin, sabun mandi, dan serbuk pencuci," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Misi Bantuan Banjir IKIM dan IAM pagi ini.

Menurutnya,sebanyak tiga buah lori bermuatan lima tan dan 27 kenderaan pacuan empat roda akan bergerak menuju ke destinasi yang ditetapkan hari ini.

"Mereka ini menawarkan kenderaan mereka untuk digunakan dan memudahkan penghantaran bantuan kepada mangsa banjir.

"Semua ini dilakukan atas ihsan dan keikhlasan mereka sendiri. Pihak kami tidak menawarkan bayaran ke atas mana-mana kenderaan yang digunakan dalam misi bantuan kali ini. Ini membuktikan keikhlasan mereka dalam membantu mangsa banjir," katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak khususnya orang ramai yang bekerjasama menghulur sumbangan dan bantuan ke atas mangsa banjir.

"Ini merupakan misi bantuan kemanusiaan pertama IKIM dan IAM, sekiranya masih ada yang menghulur sumbangan,kami akan meneruskan misi ini ke fasa kedua," katanya lagi.