Najib Tun Razak  
Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - Bajet 2015 yang disemak semula tidak perlu dibentangkan semula kerana sebahagian besar langkah proaktif yang diumumkan baru-baru ini tidak melibatkan sebarang perbelanjaan tambahan, kata  Kementerian Kewangan.

Malah, kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, langkah-langkah yang diumumkan dalam Perutusan Khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas, juga tidak melebihi siling peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Kementerian Kewangan akan terus memantau secara terperinci perkembangan global dan kesannya ke atas ekonomi domestik.

"Kementerian Kewangan mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau penjelasan mengenai Perutusan Khas itu yang boleh diajukan menerusi emel kepada pro@treasury.gov.my," katanya.

Mengulas lanjut perutusan Perdana Menteri, kementerian menjelaskan, Bajet 2015 berkenaan digubal berdasarkan kepada harga minyak mentah Tapis pada US$105 setong (US$1.00 = RM3.60).

Menurutnya, minyak mentah Tapis itu lazimnya mempunyai premium kira-kira US$5 setong melebihi harga Dated Brent, yang merupakan penanda aras global.

"Memandangkan terdapat keperluan untuk memantau harga minyak mentah secara terperinci berikutan kejatuhannya yang berterusan, rujukan dibuat ke atas harga Dated Brent pada US$100 setong dalam Perutusan Khas Perdana Menteri.

"Kerajaan bagaimanapun telah menyemak semula anggaran purata harga bagi Dated Brent kepada purata US$55 setong bagi 2015," kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kementerian itu turut menjelaskan, RM2 bilion bagi simpanan luar jangka itu tidak diambil kira dalam pengiraan defisit fiskal.

"Simpanan luar jangka ini diperuntukkan bagi perbelanjaan mendesak dan di luar jangkaan yang tiada peruntukan sedia ada.

"Simpanan ini hanya dikategorikan sebagai perbelanjaan apabila simpanan ini digunakan," katanya.

Sebagaimana diumumkan pada Bajet 2015, kata kementerian, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM50.5 bilion merangkumi RM48.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.

Menurutnya, defisit bagi tahun 2015 pada awalnya dianggarkan sebanyak RM35.7 bilion atau 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, berikutan hasil yang lebih rendah serta unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2015 iaitu 4.5 - 5.5 peratus, kadar defisit kini dianggarkan 3.2 peratus daripada KDNK atau RM37 bilion. - Bernama