Ahad, 18 Januari 2015

Sagu hati banjir: Tak perlu tunggu senarai lengkap

SINAR HARIAN


PASCA BANJIR
 
 

PASIR PUTEH - Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak perlu menunggu senarai lengkap jumlah sebenar mangsa banjir, sebaliknya boleh mula mengagihkan wang sagu hati RM500 mengikut senarai sedia ada.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, mangsa bencana yang telah disenaraikan akan mula menerima wang sagu hati tersebut pada minggu ini.

"(Sebagai contoh) seramai 1,079 keluarga polis di Kelantan sudah disenaraikan untuk menerima wang sagu hati tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM700,000 bagi pembinaan dewan terbuka di IPD berkenaan.

Ali berkata, wang sagu hati itu juga akan diberi kepada mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan insentif khas kepada anggota penyelamat yang bekerja keras ketika bencana itu melanda pantai timur bulan lepas.

"Insentif khas mengenainya akan dibincangkan kemudian bagi menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang tetap meneruskan kerja mereka walaupun keluarga mereka turut ditimpa musibah," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: