Rabu, 28 Januari 2015

ROS, bubarkan sahaja MIC

Oleh Edwin Michael

Palanivel akan dikenang sebagai seorang yang gagal mentransformasikan MIC dan juga kredibilitinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri hancur menjadi berdebu


ROS-MIC-Logo2 




Hari ini pergolakan dalam parti yang mewakili kaum India terbesar di negara ini dan juga salah sebuah parti komponen Barisan Nasional sampai kepada kemuncaknya apabila sekumpulan samseng liar bertindak menghalang Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Naib Presiden MIC daripada memasuki ibu pejabat parti MIC dan yang lebih menarik adalah apabila beliau menerima ugutan bunuh.

Sudah tiada apa lagi untuk diulas mengenai MIC ini memandangkan para pemerhati dan penganalisis politik sedar akan tindakan kurang bijak Presiden MIC dan juga Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar Datuk Seri G. Palanivel yang melantik Setiausaha Agung MIC yang baru iaitu Datuk G. Kumar Amaan yang tidak diiktiraf oleh Perdaftaran Pertubuhan (ROS).

ROS sebelum itu telah mengisytiharkan pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota CWC semasa perhimpunan agung MIC di Melaka pada November tahun lalu sebagai tidak sah dan telah menasihati MIC agar tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya sehingga isu ini diselesaikan.

Soalnya, mengapa seorang Presiden sebuah parti ini bertindak dengan sedemikian sebaliknya tidak berminat untuk selesaikan permasalahan yang membelenggu parti ini?

Ada Apa Dengan Palanivel?

Sesungguhnya rakyat Malaysia sedar akan bahawa reputasi dan kredibiliti Datuk G. Palanivel ini musnah apabila tidak mempamerkan sifat tanggungjawab dalam soal bencana banjir lumpur yang terjadi di Cameron Highland pada tahun 2013 dan 2014. Tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highland turut dipersoalkan malah mendapat kritikan serius daripada Sultan Pahang sendiri.

Dalam soal hal ehwal negara, hingga kini selepas berlakunya tragedi banjir lumpur di Cameron Highland dan juga di Kelantan baru-baru ini, kementeriannya masih gagal dilihat bertindak secara proaktif dalam mengusulkan polisi mahupun cadangan dalam menangani bencana banjir lumpur ini.

Adalah tidak adil untuk mempersoalkan tanggungjawabnya kepada negara namun adalah harus untuk dipersoalkan apakah yang telah beliau lakukan sebagai seorang Ahli Parlimen, Presiden Parti serta Menteri? Bukankah jelas bahawa individu ini kini menjadi beban kepada Barisan Nasional kerana mencetuskan sengketa politik murahan dalam partinya sendiri?

PM Terlampau Manjakan Palanivel?

Perdana Menteri dilihat mengambil sikap lebih berhati-hati dengan pendekatan tunggu dan lihat sedangkan dengan melihat kepada situasi hari ini adalah harus untuk dirumuskan bahawa MIC bakal mengundang malapetaka buat Barisan Nasional. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional adalah harus
Perdana Menteri mengambil satu keputusan yang tegas dan muktamad dengan mengarahkan Presiden MIC agar membuat pemilihan yang baru dan seterusnya mengatur strategi dalam mendapatkan kembali kepercayaan rakyat. Malah jika mengambil kira sentimen ahli MIC masa sekarang, pemilihan baru jawatan-jawatan tertentu belum tentu akan meredakan keadaan sebaliknya jelas bahawa mereka mahukan Presiden MIC berundur dan berikan laluan kepada penggantinya. Ini akan membawa kepada rombakan kabinet yang akan memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk singkirkan mana-mana anggota kabinet negara yang dilihat pasif dan tidak banyak membantu mengembalikan keyakinan rakyat.

Rindu Pada Samy Vellu

Walalupun suatu ketika dahulu Datuk Seri S. Samy Vellu dikritik hebat kononnya beliau sebagai Presiden MIC ketika itu gagal menjaga kepentingan dan kebajikan komuniti India di negara ini namun harus diakui bahawa tiada ruang langsung untuk tercetusnya konflik dalaman yang teruk seperti sekarang dibawah pimpinan Datuk Seri G. Palanivel.

Samy Vellu walaupun ada cacat celanya dalam menjadi ahli politik namun berjaya mengemudi parti MIC selama 31 tahun. Apa yang Samy Vellu buktikan adalah untuk mengemudi sesebuah parti anda tidak memerlukan penyokong yang ramai sebaliknya harus memiliki kredibiliti yang kukuh dan kental dalam berdepan musuh dan sentiasa memastikan disiplin ahli terkawal.

Sebagai Presiden adalah harus untuk membuat keputusan mutlak tanpa membiarkan mana-mana individu mempengaruhi keputusan anda. Namun penyesalan tidak boleh dinafikan dipihak Samy Vellu kerana pernah menyokong Datuk Seri G. Palanivel sebagai Presiden MIC suatu ketika dahulu tetapi kini parti ini menuju kepada kehancuran. Malah ada suara-suara nakal yang meminta agar ROS membubarkan sahaja MIC ini sementara ahlinya menyertai parti Indian Progressive Front (IPF) yang sering menjadi mangsa buli MIC.

Apapun selepas ini, Datuk Seri G. Palanivel akan dikenang sebagai seorang yang bukan sahaja gagal mentransformasikan MIC tetapi juga kredibilitinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri hancur menjadi berdebu.

Nasi sudah menjadi bubur.

(*)  Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

Tiada ulasan: