Sabtu, 10 Januari 2015

RM70.5 juta bagi kerja tambak, benteng pantai UMT



Hakisan kawasan pantai menyebabkan beberapa bangunan Universiti Malaysia Terengganu mengalami kerosakan teruk


umt


PETALING JAYA:- Peruntukan kira-kira RM70.5 juta telah disediakan bagi kerja-kerja menambak dan membenteng sepanjang kawasan pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terhakis akibat ombak besar dan banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata akibat daripada hakisan kawasan pantai itu, beberapa bangunan UMT mengalami kerosakan teruk melibatkan kerugian kira-kira RM20 juta, lapor BERNAMA.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memang telah pun menawarkan kontrak bagi kerja-kerja membenteng serta menambak batu dan pasir di pantai UMT sejak April tahun lepas.

“Kerja itu sebenarnya masih berterusan. Apabila kita dapat siapkan benteng pemecah ombak itu, maka insya-ALLAH ia dapat menyelamatkan UMT daripada hakisan teruk,” katanya kepada pemberita ketika melawat hakisan pantai UMT di sini dengan ditemani Naib Canselor UMT Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Pengarah JPS Terengganu Ir C. Poobalan.

Kawasan pantai UMT sepanjang 3.2 kilometer dengan lebar kira-kira 100 meter telah ‘ditelan laut’ akibat hakisan sejak dua tahun kebelakangan ini sehingga memusnahkan beberapa kepentingan UMT seperti pusat penyelidikan, sebuah bangunan pam air masin dan beberapa kemudahan lain.

Ketika ombak besar dan banjir melanda UMT baru-baru ini, pihak pengurusan tidak sempat memindahkan beberapa peralatan kerana ia berlaku terlalu pantas terutama di bahagian bangunan berhampiran pantai.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata tidak ada lagi sekolah-sekolah yang ditangguh pembukaannya kerana semua sesi persekolahan di Terengganu, Kelantan, Kedah, Johor perlu dibuka esok manakala selebihnya akan dibuka pada Isnin.

“Insya-ALLAH esok saya akan melawat beberapa buah sekolah yang teruk dilanda banjir terutama di Tumpat, Kuala Krai dan juga Pasir Mas di Kelantan bagi melihat sendiri persediaan mereka.

“Kita dapati empat sekolah di negeri itu tidak dapat dibuka, tetapi itu tidak banyak sebenarnya berbanding sekolah yang tidak dapat dibuka di Pahang dan Perak sebab banjir yang melanda kawasan di sana berlaku agak lewat,” katanya.

Idris berkata, kementerian akan sentiasa meneliti dan memaklumkan kepada sekolah supaya sentiasa berwaspada kerana banjir belum pulih sepenuhnya.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof mengumumkan sesi persekolahan 2015 bagi 41 sekolah iaitu empat di Kelantan, 18 di Pahang dan 19 di Perak, ditangguhkan seminggu lagi berikutan masih terbabit dengan banjir.

Berikutan itu, tarikh baharu permulaan sesi persekolahan di sekolah terbabit ialah Ahad, 18 Januari bagi sekolah di Kelantan dan Isnin, 19 Januari bagi sekolah di Perak dan Pahang.

Tiada ulasan: