Nawawi membersihkan rumah seorang kakitangan di kuarters KTMB Kuala Krai, semalam. Nawawi membersihkan rumah seorang kakitangan di kuarters KTMB Kuala Krai, semalam.
 
 
KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian dianggarkan RM250 juta akibat banjir besar yang melanda Pantai Timur termasuk Kelantan, minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, anggaran itu berdasarkan kerosakan pelbagai infrastruktur milik KTMB termasuk landasan, stesen, terowong, lokomotif dan koc penumpang.

Paling mengejutkan, katanya, jambatan kereta api di Kemubu, dekat Dabong, sepanjang hampir 50 meter turut dihanyutkan banjir dalam bencana yang disifatkan paling teruk dalam sejarah 128 tahun perkhidmatan kereta api di negara ini.

“Landasan rosak apabila tebing tanah runtuh dan menutupi landasan serta terowong, jambatan dihanyutkan air, lokomotif dan koc tenggelam manakala beberapa stesen tenggelam dan ada yang roboh.

“Kunjungan saya hari ini (semalam) adalah untuk melihat bagaimana kita dapat bantu supaya rakyat dapat menggunakan perkhidmatan kereta api secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang diiringi Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir sebelum itu melawat kuarters kakitangan KTMB daerah ini dan menyampaikan bantuan makanan kepada kakitangan syarikat itu yang menjadi mangsa banjir.

Menurut Nawawi, kerosakan jambatan kereta api di Kemubu yang menyebabkan laluan antara Gua Musang dan Tumpat terputus akan mengambil masa lama untuk dibaiki.

“Kita tidak pasti ‘time frame’ bila kereta api dapat beroperasi semula cuma untuk baiki jambatan, kita jangka masa paling minimum ialah 12 bulan.

“Buat masa ini, kita akan segerakan dahulu perkhidmatan di bahagian yang boleh dilalui iaitu dari Gemas ke Gua Musang dan dari Dabong ke Tumpat,” katanya.
Tambahnya, untuk perkhidmatan dari Gua Musang ke Dabong yang terputus di Kemubu, pihaknya mungkin akan menggunakan perkhidmatan bas bagi menghubungkan penumpang dengan dua stesen berkenaan.

Mengenai kebajikan 256 kakitangan KTMB yang terjejas akibat banjir, Nawawi berkata, setiap kakitangan berkenaan akan menerima RM2,000 termasuk pembayaran ex-gratia sebanyak RM500 atau setengah bulan gaji.