Selasa, 13 Januari 2015

PR Wajar Timbang Mejar Zaidi Calon PRU 14

shahbudindotcom



Dalam mengharungi hari-hari yang mencengkam kehidupannya sehinggalah keputusan diumumkan semalam, Mejar Zaidi Ahmad telah memperincikan kepada umum mengenai wataknya yang berani, jujur, ikhlas, amanah serta mempunya tawakal yang tinggi kepada Allah.

Dalam dunia yang semakin mencabar di mana kebendaan, wang ringgit dan pangkat sering menjadi kebanggaan, keperibadiaan seperti Mejar Zaidi adalah "intan terpilih" yang barangkali hanya ditemui "satu dalam sejuta".

Sebagai pegawai TUDM, beliau boleh saja memilih berdiam diri dan redha dengan isu "dakwat kekal yang tidak kekal", apatah lagi dengan rekod perkhidmatan selama 26 tahun, mustahil tidak mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukannya sebagai anggota tentera.

Tetapi tindakannya membuat laporan polis dan bercakap mengenai dakwat kekal tentulah datang daripada nalurinya tinggi untuk melihat sistem dan perjalanan pilihanraya serta pentadbiran negara berjalan dengan baik dan adil. 

Keyakinannya juga tentulah bersandarkan bahawa hanya melalui sistem dan perjalanan pilihanraya yang adil saja dapat melahirkan sebuah kerajaan yang adil juga.

Mungkin dengan jawatan serta pangkat yang dimilikinya, Mejar Zaidi merasakan suaranya mengenai isu dakwat kekal lebih berupaya mendapat tindak balas yang sewajarnya daripada SPR dan kerajaan, berbanding jika hanya pengundi biasa yang membuat laporan polis.

Malangnya, sementara SPR kemudiannya mengakui dakwat yang digunakan dalam PRU 13 itu memang "ada masalah" serta benar-benar tidak kekal, Mejar Zaidi terpaksa pula berhadapan tindakan yang memusnahkan karier dan masa depannya.

Kes beliau ini tidak lebih umpama pencuri tidak ditangkap tetapi orang yang melaporkan siapa pencuri pula yang dihukum. SPR, pembekal dakwat dan lain-lain pihak tidak pula dikenakan apa-apa tindakan walaupun beratus laporan dan rungutan mengenainya didedahkan.

Beliau didapati bersalah hanya kerana bersikap berani dan inginkan kebenaran. Kalaulah Mejar Saidi bercakap mengenai wajar dan layaknya isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menggunakan jet TUDM, sudah tentu hari ni beliau akan disanjung dan dinaikkan pangkat, walaupun perkara itu tidak berasaskan kebenaran dan kejujuran.

Dalam hal ini, kerajaan seharusnya berbangga mempunyai kakitangan sepertinya yang terbukti berani, jujur, ikhlas dan amanah. Setelah dijatuhkan hukuman dan dibuang daripada TUDM pula, sambil meletakkan mahkamah Allah untuk pertimbangan keadilan yang hakiki untuknya, jelas beliau juga seorang yang mempunyai keyakinan tinggi terhadap konsep redha dan tawakal.

Secara umumnya, memang ramai yang bersimpati dengan nasib Mejar Zaidi. Tetapi yakinlah dunia belum kiamat untuknya. Walaupun dunia ini selalu memberi kemenangan dan kejayaan kepada mereka yang tidak jujur, pembelit, penipu, penjahat, peminum arak, malah pembunuh sekali pun, tetapi janji Tuhan mengenai doa mereka yang teraniaya juga kerapkali ditunjukkan kepada kita sebagai pengajaran.

Namun, kita tidak tahu bila doa Mejar Zaidi ini akan dimakbulkan Tuhan. Jika benar beliau teraniaya dan hukuman tidak adil dikenakan keatasnya, menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk turut sama mengangkat tangan berdoa menuntut keadilan diberikan kepadanya serta pihak yang menganiayanya pula diberikan balasan.

Tetapi, sementara banyak pihak bangun bersuara ingin membela nasib dan kedudukan keluarga Mejar Zaidi yang kini hilang punca pendapatan, kerajaan negeri yang ditadbir PR iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan wajar segera tampil menunjukkkan diri sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.

Buatlah sesuatu untuk beliau meneruskan kehidupannya bersama keluarga dan anak-anaknya. Berikanlah pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan pengalamannya. Yang lebih penting, hargailah keberanian dan kejujurannya.

Dalam PRU 14 akan datang pula, PR juga wajar memilih Mejar Zaidi ini sebagai salah seorang calonnya. Letakkanlah di mana-mana kawasan DUN atau Parlimen kerana sifat berani, jujur, ikhlas, amanah serta mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah yang dimilikinya adalah aset paling tinggi untuk menjadi pemimpin di negara kita yang semakin "rosak" ini.

Beliau bukan saja boleh menjadi pemimpin yang baik kepada rakyat melalui sifat-sifat yang dimilikinya itu, malah meletakkan sebagai calon juga memberi lebih harapan kepada rakyat akan kewujudan sebuah kerajaan baru yang lebih diyakini.

Tiada ulasan: