Jumaat, 2 Januari 2015

PR Johor tubuh Jawatankuasa Misi Kemanusiaan, bantu mangsa banjir Pantai Timur

524160_782867191809738_7114756752264795438_n

Roketkini.com


KLUANG: Pakatan Rakyat (PR) Johor akan menggembeleng seluruh tenaga bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur, kata Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Beliau berkata, untuk menjayakan usaha itu, Jawatankuasa Misi Kemanusiaan PR Johor telah ditubuhkan dan akan digerakkan bermula 3 Januari ini.

Katanya, DAP Johor sendiri telah mula mengaktifkan 14 pusat pengumpulan sumbangan untuk membantu mangsa banjir sejak tiga hari lalu.

“Terima kasih kepada rakyat atas sambutan yang amat mengharukan,”

“Inilah rasa cinta dan kemanusiaan yang ada dikalangan kita rakyat Malaysia dan ia mesti disuburkan walaupun bencana berakhir nanti,” katanya dalam sidang media bersama Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Negeri Hassan Karim dan beberapa pimpinan lain di Pusat Komuniti Kluang, semalam.

Aminolhuda menyatakan, PAS Johor juga telah menggerakkan operasi ‘1000 Dapur untuk Pantai Timur’ yang bertujuan mengutip sumbangan kepada 1,000 keluarga yang terlibat dengan bencana.

“Dari usaha yang pelbagai ini, saya optimis kami mampu mensasarkan pula sekurang-kurangnya bantuan barangan sumbangan 1 treler setiap minggu untuk dihantar kepada mangsa-mangsa tersebut,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram Gan Peck Cheng yang turut hadir dalam sidang media pula menegaskan, setakat ini DAP Johor berjaya mengumpul sehingga 4 treler barangan untuk dihantar ke Pantai Timur.

“Awal pagi esok (hari ini) kami akan bergerak ke Kota Bharu dan Mentakab untuk menyerahkan barangan,” katanya.

Dalam pada itu, Hassan Karim mengecam tindakan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang mengabaikan pembangunan lestari sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibat sebegini teruk.

“Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu sensitif terhadap sebarang usaha pembangunan yang dijalankan termasuk mengambil kira kesan buruk terhadap alam sekitar.

“Jika ini tidak dititikberatkan, ia pastilah akan menyebabkan rakyat menangung kesusahan,” tegas beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: