Rabu, 7 Januari 2015

'PM, jangan biar orang ambil kesempatan'

MALAYSIAKINI


 


Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak seharusnya membiarkan pihak lain mengambil kesempatan ke atas kebaikan dirinya.

Katanya, beliau menyampaikan nasihat tersebut sewaktu bertemu Najib yang juga menteri kewangan di kediaman perdana menteri di Jalan Duta, sebelum beliau berlepas ke Hawaii. 

"Saya kata pada Najib secara jujur, kerana kebaikan Najib, jadi orang akan ambil kesempatan ke atas kebaikan beliau,” kata Khairuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi kenyataan kepada polis ekoran laporannya berhubung isu syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Khairudin berkata beliau tidak akan menarik balik laporan polisnya itu  sekiranya Najib berdiam diri dan tidak menyelesaikan kemelut itu.

“Saya minta Najib untuk tampil berdepan dengan rakyat dan jelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan 1MDB.

“Kalau saya puas hati dengan kenyataan Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan, berkemungkinan saya akan tarik balik laporan polis.

“Malangnya Najib tidak tampil beri penerangan yang jelas kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sehingga kini jumlah hutang yang ditanggung 1MDB adalah RM 41.9 bilion.

Sebelum ini, Khairuddin dilaporkan berkata, beliau membuat laporan polis terhadap syarikat berkenaan supaya dijalankan siasatan terhadap lembaga pengarah dan ketelusan pentadbiran dana serta kewangannya.

Khairuddin juga dilaporkan berkata bahawa laporan polis itu tidak ada kena mengenai dengan Najib sebagai perdana menteri, presiden Umno atau menteri kewangan.

Sebaliknya, Khairuddin dilaporkan berkata kerana sayangkan Umno, beliau mengambil tindakan nekad itu bagi membersihkan nama perdana menteri yang juga menteri kewangan.

"Isu 1MDB tiada kaitan langsung dengan Umno serta presiden Umno,” Khairuddin dilaporkan berkata

Tiada ulasan: