Jumaat, 9 Januari 2015

PKR bimbang jika Mazlan ketuai SKMM

MALAYSIAKINI




 
 
 
Angkatan Muda PKR (AMK) bimbang sekiranya kerajaan benar-benar melantik seorang pemimpin BN, Mazlan Ismail ke jawatan pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pergerakan itu bimbang bahawa pelantikan itu akan memberi “perkembangan tidak sihat”.

Katanya, ini memandangkan Mazlan pernah bertanding untuk merebut kerusi parlimen Permatang Pauh daripada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia juga mempromosi Mazlan sebagai calon yang diura-urakan ke jawatan berkenaan.

“Kontrak (pengerusi sebelum ini) Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

“Akhbar milik Umno, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

"Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat," kata Nik Nazmi dalam kenyataannya.

Sementara itu, MP Bayan Baru Sim Tze Tsin dalam kenyataannya berkata pelantikan Mazlan mungkin memberi kuasa kepada Umno untuk mengawal Internet.

“PKR melihat perkara ini sebagai tindakan mempolitikkan badan pengawal Internet dan menguatkan kawalan Umno ke atas Internet.

“Ini boleh membawa kepada tindakan keras ke atas suara tentangan di Internetm seperti laman berita dalam talian, media sosial dan blog independen.

“Dengan perkembangan baru ini, PKR bimbang jika benteng terakhir yang menjaga kebebasan Internet akhirnya dibolosi dan ditawan," kata Sim dalam kenyataannya.
 

Tiada ulasan: