Selasa, 13 Januari 2015

PKR akan dedah perjanjian naikkan harga barang

MALAYSIAKINI


 


Selepas mengasak kerajaan berhubung penentuan harga petrol, PKR akan beralih pula kepada isu harga barang dan perkhidmatan.

Ini termasuk mendedahkan pelbagai perjanjian dan struktur kos yang menyebabkan kenaikan harga, tekanan kepada monopoli perniagaan selain mendesak kerajaan menggunakan kuasa untuk menurunkan harga barang.

Kempen bersepadu itu akan diketuai oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, Pengerusi Biro Kepenggunaan Manivanan Govindasamy
dan Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri Wong Chen.

Perkara itu diumumkan mereka, yang juga anggota parlimen bagi kawasan Pandan, Kapar dan Kelana Jaya, dalam kenyataan bersama hari ini.

“PKR berpendapat bahawa tindakan kerajaan persekutuan sekarang adalah tidak memadai dan melepaskan tanggungjawab dengan menyalahkan peniaga-peniaga yang kononnya tidak mahu menurunkan harga barang,” kata mereka.

Lebih teruk lagi, tambah mereka, menteri-menteri terbabit membiarkan sahaja penyebaran dakwaan bahawa harga barang tidak diturunkan kerana “ketamakan” peniaga Cina.

“PKR akan menentang sikap perkauman dan tidak bertanggungjawab Umno dan menteri-menteri dalam isu harga barang ini sedangkan kuasa dan cengkaman Umno/BN dalam kerajaan dan perniagaan sebenarnya boleh digunakan untuk menurunkan harga barang,” kata mereka.

Kenyataan itu juga menyebut, tugas-tugas mereka seperti berikut:

Rafizi: Isu-isu dasar dan kuasa kerajaan persekutuan yang boleh digunakan untuk menurunkan harga barang.

Manivanan: Kempen menyemak harga dan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan dan peniaga dalam sektor barangan runcit seperti makanan dan restoran.

Wong Chen: Kempen menyemak tarif telekomunikasi (talian telefon dan Internet) dan Astro agar bayaran yang dikenakan berpatutan dengan mutu perkhidmatan.

Tiada ulasan: