Khamis, 8 Januari 2015

Peruntukan 42 kali banjir pun tak sama hutang 1MDB

1mdb

Oleh IZMIL AMRI 


Dalam masa kurang dua tahun, syarikat pelaburan negara 1MDB telah menukar Ketua Pegawai Eksekutifnya sebanyak dua kali. Ini pastinya bukan petanda bagus.

Dalam masa sekitar 24 bulan sahaja, jawatan CEO 1MDB bertukar tangan kepada tiga individu.

Berikutan ‘perpindahan’ Datuk Shahrol Halmi ke Pemandu, jawatan itu berpindah kepada kepada Mohd Hazem Abdul Rahman. Terkini, Hazem pula melepaskan jawatan tersebut, untuk diganti dengan Arul Kanda Kandasamy.

Perletakan jawatan Hazem disambut dengan emosi dan reaksi bercampur-campur daripada ramai pihak yang rata-rata terkejut dan tertawa dengan perkembangan terbaru ini.

Sementelahan, Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin baru sahaja dua hari sebelum Krismas tempoh hari mengeluarkan kenyataan panjang lebar untuk meyakinkan negara bahawa syarikat milik penuh kerajaan itu berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Sukar bagi kita untuk mempercayai bahawa Hazem telah meletakkan jawatannya dengan rela hati, dalam keadaan penggantinya sudah pun dinamakan.

Apa yang jelas, pelantikan Arul Kanda untuk menerajui 1MDB membawa erti bahawa ada masalah yang tidak boleh selesai, dan ada hujah yang tidak boleh dipatahkan oleh pihak pengurusannya dalam siri kritikan pemimpin Pakatan Rakyat terhadap syarikat tersebut.

1MDB sarat menanggung beban hutang tidak terlunas yang setakat bulan Mac tahun lalu dilaporkan mencecah RM42 bilion, justeru menjemput kritikan dan pertikaian daripada banyak pihak, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Syarikat milik negara itu juga semalam dilaporkan gagal membayar hutang-hutang berjumlah RM2 bilion yang sepatutnya langsai pada 31 Disember lalu, setelah dilanjutkan daripada tarikh asal 30 November.

Menurut sumber, 1MDB kini diberi tempoh sehingga 30 Januari untuk melangsaikan hutang-hutangnya dengan Malayan Banking Berhad dan juga RHB Bank Berhad.

Itu belum ditambah permasalahan dana USD$1.23 bilion yang masih ‘disimpan’ di kepulauan Cayman dan belum pulang-pulang, kononnya kerana tidak mahu terjejas dengan krisis tukaran wang asing.

Padahal 1MDB sebenarnya memerlukan dana terbabit untuk membayar hutang-hutang penghujung bulan lalu.

Ini ditambah pergelutannya dengan tawaran awam permulaan dalam usaha mengumpul USD3 bilion untuk mendanai projek stesen janakuasa yang sehingga tahun ini masih tertangguh.

Dalam keadaan sedemikian serabut, kita hanya boleh mengagak tawaran bagaimana yang dibuat kepada Arul Kanda, sehingga beliau sanggup melepaskan jawatannya di Abu Dhabi Commercial Bank hanya untuk kembali ke tanah air bagi menguruskan syarikat yang begitu tenat ini.

Bergantinya Hazem dengan Arul adalah isyarat bahawa tekanan ramai pihak supaya pengurusan 1MDB dirombak ekoran pentadbiran urusniaga yang begitu merunsingkan telah memberi kesan besar.

Sehinggakan ada pemimpin Umno yang turut membuat laporan polis terhadap 1MDB. Ternyata kerunsingan terhadap syarikat aset kewangan negara yang satu ini bukan soal politik semata-mata, malah mengakar kepada persoalan pengurusan kewangan negara yang memperlihatkan unjuran-unjuran kabur bagi masa akan datang.

Meski kita dimaklumkan melalui jawapan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di Parlimen bahawa kerajaan hanya menjamin sebahagian kecil hutang-hutang 1MDB yang kian menggunung berkadar dengan faedah yang terus bertambah, rakyat Malaysia pastinya bertanya-tanya siapa yang akhirnya akan terpaksa menanggung beban hutang RM42 bilion syarikat milik negara ini kalau bukan rakyat sendiri?

RM42 bilion bukan sedikit. Peruntukan kerajaan untuk bencana banjir Pantai Timur pun baru setengah bilion. – Roketkini.com

Tiada ulasan: