Penyokong Red Giants tetap memberi sokongan kepada pasukan dalam setiap perlawanan musim lalu. Namun kali ini, mereka mahukan perubahan dalam pengurusan FAS untuk kembalikan kegemilangan pasukan Selangor. Penyokong Red Giants tetap memberi sokongan kepada pasukan dalam setiap perlawanan musim lalu. Namun kali ini, mereka mahukan perubahan dalam pengurusan FAS untuk kembalikan kegemilangan pasukan Selangor.
 
 
PENYOKONG tegar Gergasi Merah mendakwa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mungkir janji dan enggan berundur selepas gagal memburu kejuaraan dalam misi Piala Malaysia.

Wakil Ultras Selangor, Arif berkata, pihaknya kecewa dengan pengurusan FAS yang tidak berpegang janji kepada penyokong setia Merah Kuning hingga menyebabkan segelintir penyokong melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

"Saya bukanlah mahu tuduh sesiapa atau mengiakan tindakan simbah cat itu dilakukan penyokong tegar Red Giant, tetapi kalau betul mereka yang buat, tidak patutlah begitu.

"Mungkin mereka sudah terlalu marah dengan FAS sampai sanggup simbah cat pula," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, pihaknya turut mendesak supaya pengurusan FAS yang sedia ada dirombak dan diganti dengan pengurusan yang baharu.

Sementara itu, penyokong Selangor mahu pengurusan FAS melakukan perubahan dan perlu sependapat dengan penyokong tanpa membuat keputusan yang mementingkan diri sendiri.

Moderator Selangorfc.com, Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, rombakan perlu dibuat tetapi ia mesti dilakukan mengikut prosedur yang betul.

"Tindakan menyimbah cat itu tidak wajar dan ia sangat memalukan. Kalau betul penyokong yang buat menunjukkan mereka tidak ada etika. Kalau mahu rombak, kita ikutlah cara yang betul.

"FAS pun persatuan yang berdaftar, bukan kelab kongsi kelab siapa yang kuat dapat mandat," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, jika ada pihak tidak berpuas hati dengan kepimpinan FAS dan mahu badan itu dirombak, perkara ini harus diteliti setiap aspek bukannya dengan tindakan simbah cat atau ugutan.

"Kita mahu pihak pengurusan lebih terbukalah dengan penyokong ini, dengar juga pendapat kami sebagai penyokong dan kalau boleh duduk semeja dengan kami jika mahu membuat sebarang keputusan, bukan ambil keputusan melulu sampai ada yang tidak puas hati," kata Firdaus.