Khamis, 22 Januari 2015

Penganggur mengaku curi jam untuk beli ubat

MALAYSIAKINI


Seorang penganggur mengaku bersalah mencuri tiga utas jam tangan di sebuah pasar raya di ibu negara tiga hari lepas, dengan alasan melakukan perbuatan itu disebabkan kekurangan wang untuk membeli ubat.
  
Khairul Nizam Ahmad, 44, yang mendakwa menghidap Hepatitis A, B dan C, kencing manis serta darah tinggi, memberitahu Majistret Ashraf Razali Abdul Manan, dia kekurangan RM150 lagi untuk membeli ubat.
  
"Pihak hospital hanya memberi 30 biji ubat sebulan secara percuma, tetapi saya kena telan 60 biji ubat sebulan," katanya ketika rayuan supaya diringankan hukuman penjara tujuh hari yang dikenakan terhadapnya.
  
Bagaimanapun, tertuduh gagal mengemukakan laporan perubatan daripada pihak hospital selepas mahkamah memintanya berbuat demikian.
  
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada hari yang sama (18 Jan).

Khairul Nizam mengaku bersalah mencuri jam tangan jenama G-Shock, yang kesemuanya bernilai RM119.70, milik Mohamed Mydin Holding Bhd, Tingkat 1, Pasaraya Mydin Bangunan Sinar Kota, Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur pada pukul 11.36 pagi, 18 Jan lepas.
  
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah berat dan mengambil kira kejadian curi banyak berlaku di pasar raya itu.
  
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Khairul Nizam ditangkap apabila alat sensormatik berbunyi ketika dia melalui pintu keluar pasar raya.
  
Pengawal keselamatan yang melakukan pemeriksaan ke atas Khairul Nizam menjumpai tiga utas jam tangan di dalam poket seluar tertuduh bersama 'tag alarm' yang telah dipotong.-Bernama

Tiada ulasan: