Selasa, 13 Januari 2015

Penganalisis bimbang bukan Islam guna Allah untuk berdakwah

Post Pic
Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam disekat kerana bimbang boleh memesongkan akidah umat Islam sekiranya ia digunakan oleh orang Kristian untuk tujuan berdakwah.
 
Menurut Penganalisis Perundangan Dr Shamrahayu Abdul Aziz, ia turut berpotensi untuk mencetuskan ketidakharmonian dan huru-hara dalam negara khususnya.
 
"Secara umum masyarakat kita amat jelas ramai sekarang ini hanya untuk orang Islam.
 
"Dari segi tujuannya dilarang kerana untuk orang Kristian berdakwah, keputusan dan alasan mahkamah sebelum ini amat jelas.
 
"Alasan sebelum ini oleh mahkamah adalah tidak ada aman dan damainya, undang-undang berkaitan sekatan dan pengembangan bukan Islam, hujah-hujah sebelum ini oleh mahkamah boleh diterima dan bertepatan dengan peruntukan perlembagaan," katanya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sewaktu menjadi afidavit terhadap permohonan Gereja Katolik untuk mencabar pengharaman penggunaan kalimah Allah menegaskan bahawa Enakmen negeri yang menyekat pengembangan kepercayaan agama bukan Islam di kalangan umat Islam adalah mengikut Perlembagaan.
 
Namun Shamrahayu yang juga Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menambah, permohonan semakan yang akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 21 Januari oleh Gereja Katolik adalah proses yang betul dalam bidang perundangan. 
 
Tambahnya lagi ia tidak boleh dihalang, namun begitu beliau berharap pihak mahkamah dapat menilai dan membuat keputusan dengan tepat. 
 
"Tidak boleh halang boleh mereka buat rayuan sebab itu sistem kita, mengikut prosesnya kita akurlah. 
 
"Cuma saya jelaskan pendirian saya bahwa kalaulah kalimah Allah itu digunakan untuk tujuan penyebaran agama bukan Islam kerana ia digunakan dalam bahasa Melayu maka itu sesuatu yang bercanggah dan tidak dibenarkan," tegasnya. 
 
Perkara 11 (4) menyatakan negeri-negeri, termasuk Wilayah Persekutuan boleh menggubal undang-undang untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam.
 
Sepuluh negeri, termasuk Selangor sejak 1988 meluluskan enakmen (Seksyen 9) menghentikan orang bukan Islam daripada menggunakan antara 18 dan 25 perkataan, salah satu daripadanya ialah "Allah".

Tiada ulasan: