OLEH DIYANA IBRAHIM
Seorang pemimpin Umno,
Syed Rosli Jamalullail mempersoalkan hukuman yang dikenakan terhadap
Mejar Zaidi Ahmad walaupun penjawat awam itu berbuat perkara betul
dengan membuat laporan polis berhubung kelemahan dakwat kekal semasa
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Ketua penerangan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Pandan itu
berkata, TUDM lebih cepat menghukum Zaidi yang kesalahannya tidak serius
berbanding kelemahan agensi keselamatan itu ketika kehilangan pesawat
Malaysia Airlines MH370.
"Kenapa Mejar Zaidi diambil tindakan tegas sedangkan beliau cuma
ingin melaporkan perkara yang benar mengenai kelemahan dakwat kekal yang
digunakan oleh SPR semasa PRU13," kata Syed Rosli dalam satu kenyataan
kepada The Malaysian Insider hari ini merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan
Raya.
"Kerajaan Indonesia lebih tegas dengan memecat 4 pegawai Pusat Kawalan
Udara mereka yang bertugas semasa kejadian malang pesawat AirAsia
QZ8501."
Zaidi pada Isnin dijatuhkan hukuman dengan ditamatkan perkhidmatan secara serta-merta selepas didapati bersalah atas dua dakwaan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tentera.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kol Saadon Hasnan berkata, hukuman berkenaan bukan berpunca daripada isu dakwat kekal.
"Ianya kerana dua kesalahan yang dilakukan kerana melanggar arahan yang
dikeluarkan pihak berkuasa Angkatan Tentera Udara," kata Saadon.
Zaidi membuat laporan berhubung dakwat kekal pada 30 April, 2013
selepas mengundi dalam pengundian awal selepas mendapati dakwat kekal di
jarinya hilang selepas dibasuh.
Susulan daripada laporan polisnya, pegawai TUDM itu diarahkan untuk
berpindah ke Butterworth dan pada 7 Februari, 2014 beliau dilaporkan
menerima 7 pertuduhan daripada Majlis Angkatan Tentera.
Syed Rosli yang pernah mencabar Khairy Jamaluddin sebagai ketua Pemuda
Umno turut membidas cara TUDM menangani kehilangan pesawat MH370 pada 8
Mac, 2014 dengan mengatakan sehingga kini tiada siasatan menyeluruh
dilakukan.
Katanya, TUDM juga gagal mengesan kehilangan pesawat MAS yang membawa
239 penumpang dan 12 anak kapal itu terkeluar daripada radar.
Beliau berkata TUDM hanya mendedahkan pesawat itu berpatah balik selepas tiga hari meskipun ia dapat dikesan radar mereka.
"Betul, kita tidak boleh menyalahkan 100% pada pihak tentera udara
Malaysia tetapi bukankah ini menjadi tanggungjawab mereka memantau ruang
udara Malaysia terutama apabila ada pesawat penumpang yang melakukan
pusingan semula merentasi Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang tanpa
mendarat?"
Syed Rosli yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan surat
terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa TUDM
memperbaiki kelemahan badan itu.
"Tidak boleh bayangkan apa akan terjadi dengan Malaysia jikalau ada
pesawat perang asing yang masuk ke ruang udara Malaysia malahan lebih
teruk mereka boleh mendarat secara haram tanpa diketahui oleh pihak
tentera pun.
"Jangan diulangi lagi seperti apa yang pernah berlaku di Lahad Datu
setahun yang lalu dan berubahlah semua pemimpin negara atau kami rakyat
akan terpaksa mengubah kamu semua," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan