Pemilihan
semula bagi cawangan Merlimau Utara (dalam MIC bahagian Jasin) tidak
diadakan seperti sepatutnya dalam tempoh 30 hari yang berakhir semalam,
berikutan MIC pusat memperoleh tempoh lanjutan daripada Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Pengerusi MIC Melaka Datuk M.S Mahadevan, bagaimanapun berkata beliau
tidak pasti berapa lama tempoh lanjutan yang diperoleh MIC pusat
daripada ROS itu.
"MIC peroleh tempoh lanjutan itu melalui perbincangan antara Presiden
MIC (Datuk Seri G. Palanivel) dan pihak berkaitan dengan ROS," katanya
ketika dihubungi Bernama semalam.
Pada 5 Disember lepas, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula
bagi 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga jawatan
naib presiden dalam tempoh 90 hari berikutan aduan mengenai
penyalahgunaan kuasa dan perlakuan
yang melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.
ROS juga mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi lapan bahagian
dalam tempoh 60 hari iaitu Bayan Baru, Bukit Gelugor, Subang, Bandar
Baru Kulim, Taiping, Tambun, Sepang dan Jasin.
ROS juga mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula untuk jawatan
Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Batu Kawan, Ketua Bahagian MIC Bahagian
Kota Raja, Ketua Bahagian Tanjung Malim dan ketua cawangan bagi
Cawangan Taman Koperasi Polis dalam tempoh 30 hari.
Dua cawangan, Merlimau Utara dan Rumah Pangsa Pekeliling Selatan juga diarah mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 30 hari.
ROS menasihatkan MIC supaya menangguhkan perhimpunan agung tahunan sehingga masalah itu diselesaikan.
"Pemilihan (di Jasin dan Merlimau Utara) tempoh hari mengikut semua
peraturan tetapi saya akan rujuk kembali kepada ibu pejabat MIC
sekiranya perlu kita buat pemilihan semula," kata Mahadevan.
Semalam, Palanivel menerusi kenyataan berkata MIC telah menghantar surat
kepada ROS pada Jumaat lepas memohon untuk diberikan tempoh lanjutan
mengadakan pemilihan semula.
Mahadevan berkata kemelut yang melanda MIC sekarang disebabkan sikap
sesetengah pihak dalam MIC yang sengaja menimbulkan kekeliruan dalam
kalangan anggota parti itu untuk kepentingan diri mereka sendiri.
"Saya percaya kita dapat selesaikan dengan baik bersama ROS, saya ingin
menegaskan Presiden MIC (Palanivel), saya dan juga rakan pimpinan lain
tidak akan sama sekali membenarkan MIC dibatalkan pendaftarannya," kata
Mahadevan.
Di GEORGE TOWN, Pengerusi MIC Pulau Pinang M. Karuppanan memberitahu
Bernama pihaknya sedang menunggu maklumat berhubung lanjutan masa bagi
pemilihan semula membabitkan negeri itu daripada Palanivel.
Beliau berkata pihaknya tidak jelas sama ada rayuan kepada ROS untuk lanjutan masa diluluskan atau sebaliknya.
Karuppanan juga mendakwa ROS membuat kesilapan dalam maklumat berhubung
kawasan Batu Kawan kerana ia sepatutnya pemilihan semula Naib Pengerusi
cawangan Simpang Ampat, bahagian Batu Kawan dan bukannya untuk jawatan
timbalan pengerusi bahagian Batu Kawan.
Mengenai kenyataan Ketua MIC Bahagian Bayan Baru Datuk M. Nyanasegaran
yang mempersoal ketelusan pelantikan beliau sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Disiplin MIC yang baru, Karuppanan berkata pelantikan itu
adalah sah.
"Pelantikan itu tidak melanggar perlembagaan parti kerana penubuhan
Jawatankuasa Disiplin itu disokong CWC sejak dulu lagi dan sebarang
penukaran anggota baharu boleh ditentukan presiden," katanya.
Semalam, Nyanasegaran mempersoal ketelusan pelantikan itu kerana ia
perlu disokong CWC mengikut Artikel 55 Perlembagaan parti, oleh itu
dakwanya ia tidak sah kerana ROS mengarahkan MIC untuk melakukan
pemilihan semula.
Sementara itu, MIC Perak tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan
penjelasan mengenai pemilihan semula membabitkan negeri berkenaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan