Jumaat, 23 Januari 2015

Pembunuhan Altantuya: Azilah Mohon Pengampunan

RAKYATNEWS

 

 alt



PUTRAJAYA  - Ketua Inspektor Azilah Hadri, salah seorang daripada dua bekas komando yang dihukum mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengampunan secepat mungkin.

Peguamnya Datuk Hazman Ahmad berkata beliau akan berjumpa anak guamnya minggu depan untuk mendapatkan arahan seterusnya sebelum menulis surat kepada peguam negara.

"Selain daripada proses undang-undang, ia merupakan hak Perlembagaan seorang pesalah untuk menulis kepada pihak berkuasa supaya dimaafkan daripada jenayah yang mereka lakukan," lapor The Malaysian Insider.

Hazman berkata pihaknya akan meneruskan tanpa berlengah lagi walaupun seorang lagi pesalah Korporal Sirul Azhar Umar melarikan diri.

Sirul dan Azilah bebas sejak 23 Ogos, 2013 apabila Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman bunuh mereka.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah mereka dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-keduanya minggu lepas.

Bukti mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah, dibunuh sebelum diledakkan dengan bom C4 pada 18 Oktober, 2006, di Shah Alam, berdekatan dengan Kuala Lumpur.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, penasihat Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri. Pihak pendakwa tidak merayu terhadap pembebasan Razak.

Walaupun dengan sabit kesalahan, motif pembunuhan Altantuya masih tidak diketahui.

Sirul ke Australia Oktober lepas dan tidak hadir semasa Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan mereka berdua disabitkan bersalah kerana membunuh.

Lelaki berusia 43 tahun itu dilaporkan ditahan di Brisbane, Australia 3 hari lepas, dan pihak berkuasa Malaysia sudah pun membuat permohonan rasmi supaya Sirul diekstradisi ke Malaysia.

Bagaimanapun, undang-undang Australia menyatakan seorang yang berdepan dengan hukuman mati di negara asalnya tidak boleh diekstradisi.

Tiada ulasan: