Selasa, 13 Januari 2015

Pelantikan S Kumar tak sah, berhenti buat kenyataan - Vell Paari

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Bekas Pengarah Strategi MIC, Datuk Seri S. Vell Paari meminta Setiausaha Agung parti itu, Datuk G. Kumaar Aamaan agar berhenti daripada membuat sebarang kenyataan menggunakan kapasiti jawatannya sekarang kerana mendakwa pelantikannya itu sebagai tidak sah.
 
Dalam kenyataannya, Vell Pari yang juga Pengerusi MIC Bahagian Kepong berkata, pelantikan tersebut jelas sekali melanggar perlembagaan parti setelah Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) diisytiharkan tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan perlu diadakan pemilihan semula. 
 
"Seperti yang dinyatakan oleh YB Senator Datuk Vigneswaran, Artikel 49 perlembagaan parti, Setiausaha Agung hendaklah dilantik daripada kalangan anggota CWC. CWC sendiri telah diisytiharkan tidak sah, apa lagi yang sah  untuk jawatan 'Setiausaha Agung'." katanya menerusi satu kenyataan media. 
   
Ujarnya, beliau tidak 'mengambil pusing' sekiranya S Kumar mengeluarkan kenyataan berunsur peribadi, namun adalah salah untuk mengeluarkan kenyataan berhubung perkara yang membabitkan dasar parti kerana jawatannya itu tidak diiktiraf.
 
Beliau juga berkata tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kerana pelanggaran perlembagaan parti itu.
 
"Apa-apa perkara dasar yang berkaitan dengan hak-hak ahli MIC mesti diputuskan di EGM," katanya lagi.
 
Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel pada 3 Januari lalu mengumumkan pelantikan S. Kumar sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan A.Prakash Rao. 
 
Palanivel turut mengumumkan pelantikan pengarah strategi baru, Ramalingam Krishnamoorthy bagi menggantikan Vell Paari, selain pelantikan tiga anggota CWC yang baru iaitu, Karuppanan Malairaja, Datuk Ganesan Subramaniam dan Ganesan Thankaveloo.
 
Pelantikan tersebut bagi menggantikan, Tan Sri K.S. Nijhar, Datuk R. Ramanan dan Datuk K.S. Balakrishnan.

Tiada ulasan: