Jumaat, 2 Januari 2015

Pelajar Malaysia terbunuh dalam rempuhan di Shanghai

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia terbunuh manakala seorang lagi cedera dalam rempuhan sambutan Tahun Baharu di Shanghai, China, Rabu yang mengorbankan 36 orang, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam kenyataan di ibu negara, Khamis malam, kementerian itu berkata mangsa merupakan seorang pelajar sebuah universiti di Hangzhou, Wilayah Zhejiang.

"Usaha telah dilakukan untuk memaklumkan kepada keluarga mangsa di Malaysia," menurut kenyataan itu tanpa mendedahkan identiti mangsa.

Menurut kementerian itu, rakyat Malaysia, Ooi Hooi Yi, 20, telah tercedera dalam kejadian 11.30 malam di Dataran Chen Yi, Shanghai, kawasan Bund tepi sungai yang popular di bandar raya itu.

Rakyat Malysia itu mengalami pendarahan di mata dan beberapa kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Changzheng, Shanghai.

Menurut kenyataan itu, pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai telah melawat Ooi di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Konsulat Jeneral masih meneliti senarai mangsa untuk memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia lain yang terlibat," kata kenyataan itu. - Bernama

Tiada ulasan: