PASCA BANJIR
 
 
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Kelantan menjangkakan mampu membersihkan sampah sarap akibat banjir yang melanda negeri itu dalam tempoh sebulan sebelum memberi ruang untuk rakyatnya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, selepas fasa pembersihan itu selesai, pihaknya berharap aktiviti perniagaan di negeri itu dapat diteruskan.

 “Fasa pertama dalam masa sebulan ini kita buat pembersihan sampah sarap. Kita tak mahu dalam tempoh sasaran kita untuk bersihkan sampah sarap selepas banjir ini, hujung bulan nanti ada sampah lagi.

“Kita perlukan sedikit masa untuk membersihkannya kerana sampah terlalu banyak. Banjir yang kita hadapi ini terlalu besar. Saya letakkan sasaran sebulan ini untuk pembersihan itu, saya rasa ia realistik,”katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak memainkan peranan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tugas itu berjalan lancar.

“Di Kelantan ini adalah budaya perniagaan jadi kita harap dalam masa sebulan ini kita dapat mulakan kembali kehidupan seperti biasa.

“Saya minta masyarakat membantu untuk mengeluarkan sampah-sampah dari rumah atau premis masing-masing letak di luar supaya dapat diambil dan diurus dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya telah diarahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob agar membantu peniaga-peniaga kecil menapak kembali selepas kerugian teruk dalam banjir tersebut.

“Fasa kedua nanti kita terus nak membangunkan Kelantan. Kita akan kenal pasti sama ada menyediakan tapak-tapak baru atau memperkemaskan tapak sedia ada untuk memastikan mereka dapat balik semula mencari rezeki

“Insya-ALLAH kita akan berusaha bersungguh untuk memastikan peniaga-peniaga kecil ini khususnya mendapat pembelaan dalam masa-masa yang mencabar ini,” katanya.

Malah katanya, kehadiran masyarakat luar ke Kelantan untuk membantu membangunkan semula Kelantan sangat dialu-alukan.

“Saya melihat sekarang ini kehadiran ramai orang luar ke Kelantan untuk membantu di samping turut datang dengan sokongan ekonomi.

“Saya seru individu, masyarakat, agensi swasta dan kerajaan dari seluruh negara supaya datang membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan membantu membangunkan Kelantan ini secara tersusun dengan buat rujukan kepada ketua jajahan,”katanya.