Ahad, 4 Januari 2015

Pasca banjir: Satu lagi cabaran penduduk

SINAR HARIAN


Kesan paras air banjir di Kampung Dioh. Kesan paras air banjir di Kampung Dioh.
 
 
KUALA KRAI - Selepas melalui fasa kritikal iaitu banjir, penduduk sekali lagi terpaksa menghadapi fasa yang juga mencabar iaitu pasca banjir.
 
Ini kerana penduduk sekali lagi diuji dengan ketiadaan bekalan air bersih dan elektrik yang seterusnya menyukarkan aktiviti harian mereka.
 
Tinjauan Bernama di Kampung Lubok Jong, Kuala Krai, mendapati penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air di sungai berdekatan dan terdapat juga segelintir daripada mereka mendapatkan air bukit (air mata air) yang mengalir di tepi jalan.
 
Kelihatan penduduk sejak awal pagi membawa bekas seperti botol dan besen untuk mengangkut air bersih ke rumah masing-masing untuk memulakan aktiviti harian mereka.
 
Seorang penduduk Ismail Hashim, 40, dari Kampung Lubok Jong berkata setiap pagi beliau akan mendapatkan air untuk membersihkan diri dan membasuh rumah.

"Memang kena angkut air dari pagi. Kami orang dewasa tak apa, tapi kanak-kanak nak mandi susah.
 
"Tengok ada air bukit di tepi jalan memang jernih kalau dibandingkan dengan air sungai yang keruh, itu yang saya ambil air dekat sini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
 
Beliau berkata ketiadaan bekalan air bersih lebih menyukarkan aktiviti harian berbanding ketiadaan bekalan elektrik.
 
"Elektrik tak ada kami boleh lagi terima. Kalau boleh biar bekalan air tu pihak berwajib pulihkan cepat," katanya.
 
Seorang lagi penduduk, Abdullah Zakaria, 39, berkata beliau berharap pihak berwajib dapat membaik pulih bekalan air bersih demi kemudahan penduduk di kampung berkenaan.

"Air bersih memang penting, kami nak mandi, basuh rumah dan macam-macam lagi, kalau hari-hari kena angkut air memang susah.

"Macam mana dengan keluarga yang ada anak kecil lagi susah, takut juga kalau guna air sebarangan nanti kena penyakit," katanya.

Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan hari ini menyatakan pembekalan air oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) secara keseluruhannya mencapai 65 peratus di mana 20 loji telah beroperasi dan baki 13 loji lagi masih dalam baik pulih.

Tinjauan di sekitar bandar Kuala Krai, amat menyedihkan kerana banyak jalan yang rosak dan berdebu, banyak rumah yang musnah dan kedai yang rosak akibat banjir.

Untuk mendapatkan barangan basah, penduduk terpaksa ke bandar terdekat iaitu Machang yang terletak kira-kira 25 kilometer.

Seorang penduduk Adnan Mohamad, 28, dari Kampung Tualang di sini, berkata banjir kali ini memang paling dasyat kerana menyebabkan bandar Kuala Krai lumpuh.

"Barang di rumah memang tak boleh diselamatkan, memang ia satu bencana besar buat penduduk di sini.
"Saya bersyukur, keluarga selamat, itu lebih penting," katanya yang sedang membersihkan barang-barang yang musnah akibat banjir di rumahnya. - Bernama

Tiada ulasan: