Rabu, 7 Januari 2015

Pampasan mesti setimpal dengan perkhidmatan, kata bekas MB

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiap pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun badan korporat berhak menerima pampasan atau gratuiti.
 
Namun, tegas bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar jumlah pampasan yang diberi haruslah setimpal dengan tempoh masa perkhidmatan pegawai terbabit.
 
"Tiap-tiap mereka yang berkhidmat dengan kerajaan atau pun mana-mana badan sama ada badan bukan kerajaan atau pun badan-badan korporat berhak untuk mendapatkan ganjaran atau gratuiti setelah berkhidmat sekian lama.
 
"Apa juga yang dibayar mestilah... yang menerima itu berhak menerima dan yang memberi sepatutnya diberi berdasarkan kepada khidmat seseorang pegawai berkenaan," katanya ketika diminta mengulas isu pampasan RM 2.6 juta kepada lapan bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata jumlah pampasan itu juga haruslah termaktub dalam skim perkhidmatan.
 
"Ini termaktub dalam skim perkhidmatan. Jadi, apa juga bayaran yang dibuat mesti berdasarkan kepada skim perkhidmatan, banyak atau kurang itu terpulang kepada skim perkhidmatan.
 
"Kalau misalnya tidak dilaksanakan mengikut skim perkhidmatan maknanya tak betullah," jelasnya.
 
Baru-baru ini Antarapos melaporkan, lapan bekas pegawai Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu diarahkan mengembalikan kesemua nilai pampasan itu dalam masa 14 hari.
 
Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat peguam dan kesemua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah yang sepatutnya.
 
Bagaimanapun, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin semalam berkata beliau mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Azmin .
 
Khalid sebelum ini mendakwa pampasan yang diberikan kepada Faekah dan tujuh lagi kakitangan di pejabat beliau adalah mengikut undang-undang dan tidak keterlaluan.
 
Pembayaran itu dibuat kononnya sebagai ganjaran kerana lapan pembantunya memilih untuk meletakkan jawatan secara sukarela menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS), akibat peralihan pucuk pimpinan.
 
Antara yang menerima pampasan tersebut adalah bekas Ketua Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima hampir RM700,000 sementara Setiausaha Akhbar beliau, Arfa'eza Abdul Aziz menerima sejumlah RM400,000 manakala setiausaha politiknya pula, Mustapa Mohd Talib menerima pampasan bernilai RM265,000.

Tiada ulasan: