Sabtu, 24 Januari 2015

Pakatan perlu tamatkan era Umno-BN


DETIK DAILY


Pentadbiran Najib berdepan dengan pelbagai isu kontroversi sejak bergerak dari garis mula p
Pentadbiran Najib berdepan dengan pelbagai isu kontroversi sejak bergerak dari garis mula pada 2009, selepas pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa Umno-BN melalui pilihan raya umum dengan prestasi paling buruk dalam sejarah terkini.

Pada masa ini, isu lama dan baharu muncul menghambat Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, daripada kontroversi pengurusan 1MDB hingga kepada persoalan-persoalan berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Najib banyak menghadapi nasib tidak baik kebelakangan ini, termasuk perkara-perkara yang melibatkan imej di pentas politik, seperti didedahkan bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama semasa beberapa buah negeri di Malaysia dilanda banjir yang dahsyat.

Kemudian, didedahkan pula pesawat rasmi dinaiki Najib meneruskan satu perjalanan yang jauh di beberapa bandar di AS dan akhirnya ke Bangkok sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Semasa banjir buruk melanda negara, kerajaan dan pihak-pihak berwajib kelihatan dikejutkan dengan skala bencana yang dihadapi, hingga sekali lagi mengundang kritikan terhadap Najib, selepas dipersoalkan kepimpinan dan keprihatinannya kerana bermain golf semasa rakyat berdepan banjir.

Banjir buruk yang akan memerlukan kos pemulihan yang amat besar diiringi dengan kejatuhan harga minyak daripada lebih AS$100 setong kepada sekitar AS$40 setong akan segera menguji seluruh pentadbiran Najib.

Dalam menuju ke Pilihan Raya Umum ke-14, Najib berdepan tekanan yang kuat disebabkan perkembangan yang tidak menyebelahinya ini, selepas pilihan raya umum yang lalu menunjukkan peluang Umno-BN untuk pulih terlalu sukar.

Sepanjang 2014, memang kelihatan nasib tidak menyebelahi Najib apabila negara menghadapi insiden buruk bertimpa-timpa, terutama insiden antarabangsa yang berprofil tinggi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan kemudian pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Kedua-dua insiden mendedahkan beberapa kelemahan pentadbiran Najib dan jentera di bawah kuasa beliau sebagai ketua kerajaan, seperti jawapan yang tidak meyakinkan terutama pada peringkat awal kehilangan MH370 .

Kemudian, hubungan baik Najib dengan Obama menimbulkan pula persoalan tentang rundingan di belakang berkaitan isu-isu keselamatan negara, lebih-lebih lagi disebabkan Malaysia mendapat bantuan yang banyak daripada AS dalam usaha mencari pesawat MH370.

Tetapi nasib tidak baik tidak menjelaskan semua peristiwa yang dihadapi Najib dan negara sepanjang 2014 hingga ke tahun 2015 ini, tetapi juga kelemahan kepimpinan beliau sebagai perdana menteri, yang isu Altantuya, pelaburan 1MDB dan sebagainya berlaku melibatkan beliau secara langsung, yang mempunyai kuasa yang bukan sedikit dalam menangani isu-isu terbabit.

Selepas Pilihan Raya Umum ke- 13, Najib nampaknya semakin lemah, dengan kabinet yang lemah dan kelihatan kurang ber upaya menghadapi cabaran semasa dalam keadaan ekonomi negara dan global yang amat mencabar pada masa kini.

Kini terserah kepada PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat untuk mengemukakan program menyeluruh yang lebih meyakinkan, untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik, dan memperkukuhkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Tiada ulasan: