Khamis, 8 Januari 2015

Nurul mengaku tak sahkan dengan Shahrizat

MALAYSIAKINI


 


Naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa beliau tidak membuat pengesahan dengan bekas menteri Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung dakwaan mengenai pembelian lapan unit kondominium mewah di KL Eco City.

Beliau juga mengaku tidak membuat pengesahan dengan suami Shahrizat, yang juga pengerusi National Feedlot Corporation (NFC) Datuk Seri Mohd Salleh Ismail dan juga Public Bank sebelum membuat dakwaan terbabit.

MP Lembah Pantai itu mengaku demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau menganggap dokumen bank yang diperolehi pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli pada masa itu sudah memadai.

Nurul Izzah ditanya oleh peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Salleh, sama ada beliau mengutus surat atau berhubung dengan Salleh atau bertanya kepada Shahrizat mengenai pembelian tersebut, mahupun kepada Public Bank mengenai pinjaman berkenaan.

MP tersebut berkata, beliau tidak berbuat demikian kerana kebimbangannya adalah mengenai dana kerajaan yang diberikan kepada NFC.

"Saya tidak fikir saya mengesahkannya dengan plaintif (Salleh) kerana beliau tidak mesra dan ia akan jadi sangat sukar,” katanya.

Shafee: Tidakkah anda boleh hantar surat atau dengan serahan tangan sebelum mengumumkannya (dalam sidang media)?

Nurul Izzah: Saya tidak percaya begitu, kerana peranan saya sebagai ahli Parlimen, bukan sebagai peguam.

Shafee: Tidakkah penting untuk dengar penjelasan pihak satu lagi?

Nurul Izzah: Keutamaan saya adalah pada dana. Berapa banyak surat berdaftar saya hantar untuk dapatkan penjelasan?

Beliau memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang difailkan ke atasnya dan ke atas PKR oleh Salleh dan NFC.

Tiada ulasan: