MALAYSIAKINI
Mahkamah Sesyen Ipoh melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Besar Perak
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada pertuduhan memfitnah
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hampir tiga tahun lepas.
Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan
awal pembelaan diketuai Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang
membangkitkan isu siapa yang sepatutnya membuat aduan dalam kes
berkenaan.
Dalam penghakimannya, Rihaida berkata mahkamah menerima hujah Timbalan
Pendakwa Raya Mohd Masri Daud bahawa mengikut Seksyen 131 Kanun Tatacara
Jenayah, aduan orang yang teraniaya boleh dibuat oleh pendakwa raya
atau timbalan pendakwa raya.
Bagaimanapun, beliau memutuskan bahawa aduan yang dibuat dalam kes ini
adalah cacat dan tidak boleh diterima kerana terdapat kekeliruan siapa
yang sebenarnya membuat aduan, iaitu sama ada Timbalan Pendakwa Raya
Datuk Hanafiah Zakaria atau Timbalan Pendakwa Raya Mohd Masri Daud.
Rihaida juga berkata berdasarkan saman yang dikeluarkan mahkamah
terhadap Mohammad Nizar, borang aduan kes itu ditandatangani seorang
pegawai polis iaitu ASP Zulkarnain Samsudin.
"Jadi mahkamah mendapati ada pelanggaran terhadap Seksyen 131 Kanun
Tatacara Jenayah (yang memperuntukkan bahawa aduan perlu dibuat oleh
pendakwa raya atau timbalan pendakwa raya).
"Oleh itu, mahkamah membenarkan bantahan awal pembelaan dan tiada
pilihan selain melepas tanpa membebaskan OKS (orang kena saman),"
katanya.
Semalam, Mohd Yusof berhujah dalam kes ini, memandangkan perdana menteri
tidak membuat aduan, maka orang yang sepatutnya berbuat demikian ialah
pendakwa raya atau peguam negara.
Beliau berkata jika mahkamah tidak menerima hujah itu dan memutuskan
bahawa timbalan pendakwa raya juga boleh membuat aduan, maka mahkamah
perlu menimbang fakta bahawa borang aduan dalam kes ini ditandatangani
ASP Zulkarnain, iaitu pegawai penyiasat kes berkenaan.
Dalam hujahnya, Mohd Masri memaklumkan bahawa meskipun borang aduan
dalam kes ini ditandatangani ASP Zulkarnain, Jabatan Peguam Negara
menyertakan satu lampiran yang ditandatangani beliau.
Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata nama Hanafiah turut ada dalam lampiran
yang ditandatangani Mohd Masri, jadi isu yang timbul ialah siapa pengadu
sebenar dalam kes ini.
Mohammad Nizar, 58, yang beralamat di Sungai Rokam di sini didakwa
memfitnah Najib dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan
di Ipoh, antara pukul 9 malam dan 12 tengah malam, 23 April 2012.
Mohammad Nizar yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Perak didakwa
mengetahui tohmahan seperti yang terkandung dalam transkrip ucapan dalam
Lampiran A, yang disertakan bersama-sama kertas pertuduhan itu, akan
merosakkan nama baik Najib.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman
penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Mohammad Nizar diwakili 13 peguam yang diketuai Mohd Yusof manakala
pihak pendakwaan diwakili Mohd Masri, yang juga Ketua Unit Pendakwaan
Negeri Perak, dan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan