KUALA LUMPUR, Khamis, Tahun Baharu 2015: Selamat Tahun Baharu dan simpati saya kepada mereka yang dilanda banjir. Mujurlah kami di Kuala Lumpur terselamat setakat ini.

Mohon jangan tersalah faham. Saya orang Kelantan - seperti orang Terengganu, Pahang dan Johor- terutama yang tinggal di sebelah timur negeri masing-masing tiap tahun terdedah dengan musim tengkujuh kerana topografi lokasi tiada gagasan bukit/gunung sebagai perisai hujan lebat, angin kencang antara bulan Disember-Januari maka berlakulah banjir, besar atau kecil bergantung pada lebat atau tidak hujan dan air sungai serta anak sungai melimpah.

Besar kemungkinan juga keadaan menjadi lebih teruk dan banjir mudah berlaku sebab pembangunan (yang mesti berlangsung bagi faedah rakyat) dilaksanakan tanpa perancangan terperinci dan ketat, tanpa sensitif pada alam sekitar dan penguatkuasaan yang longgar.

Memang memberangsangkan melihat semua bangsa dan agama bekerjasama membantu mangsa banjir besar ini. Sungguh gembira, nampaknya perbezaan politik diketepikan.

Janganlah cepat gege atau gempar, banjir juga berlaku di Sri Lanka, selatan Siam, Indonesia, Filipina dan beberapa lokasi lain di Asean. Bangkok yang terkenal sebagai Venice of the East tidak bah masa saya di sana minggu lepas.

Kuala Lumpur tiada sungai besar seperti Sungai Chao Phraya yang panjang sejauh 231 batu (371.8 km) dan tidak banyak pula klong (canals) kadangkala didatangi bah kilat, bah jantan dan bah betina.

Kehidupan berjalan seperti biasa kalaupun tidak selesa, bah atau tidak. Mereka yang suka merungut keterlaluan tidak bersyukur. Pilihan mereka senang: Pilih kerajaan baharu kalau tidak puas hati dengan kerajaan sekarang; pilih kerajaan seperti Kelantan, Pulau Pinang atau Selangor ataupun berhijrah ke mana negara yang sudi menerima mereka. Benua Afrika masih dara (virgin) untuk diterokai.

Orang kulit hitam berisiko nyawa lari dari benua itu ke negara-negara lain termasuk kita. Perdana Menteri Najib Tun Razak berkejar pulang dari cuti main golf dengan Presiden Barack Obama di Hawaii kerana keadaan bah meruncing.

Najib terpaksa membela golf diplomasinya. Benar bukan mudah, bukan senang dapat bertemu seorang Presiden Amerika Syarikat apalagi bermain golf dengan manusia paling berkuasa di dunia kini.

Najib menganggap perjumpaan itu mustahak, penting bersantai, relaks bersama Obama kerana itu satu penghormatan tertinggi kepada pemimpin sebuah negara membangun.

Diharap golf diplomasi ini memanfaatkan dan merapatkan lagi hubungan dua hala KL- Washington, dan hubungan peribadi Najib - Obama dalam sisa usia pentadbiran Obama.

Lagipun, jika jentera kerajaan yang bertanggungjawab untuk respons pada bencana banjir yang berlaku saban tahun dapat digerakkan segera serta licin, tiada sebab Najib mesti bergegas pulang.

Ada atau tiada, Najib seharusnya tidak menjadi isu tetapi memang lebih baik kalau dia bersama dengan mangsa banjir. Seperti kata Speaking “in times such as this the rakyat expect and want their leader to be with them”.

Nampaknya kelemahan yang serupa berulang berkali-kali kerana mereka yang bertanggungjawab usahkan dikena tindakan, diberi pula kehormatan dan bintang kebesaran!

Sistem perparitan wujud pada nama sahaja; banyak parit dan longkang tersumbat dengan sampah-sarap. Tidakkah terlintas, mewujudkan infrastruktur jalan dan highway serta parit mempunyai berbagai fungsi?

Singapura tiada banjir walaupun dalam kawasan topografi dan geografi dengan kita. Mengikut Bible atau Kitab Injil, Tuhan telah menurunkan banjir besar zaman Nabi Nuh untuk menghukumkan manusia yang kejam dan berakhlak buruk atau seperti kata Speaking, "for their wickedness.”

Kita pula percaya, mereka dihukum kerana mengingkari perintah ALLAH SWT, maka mereka musnah atau perished. Bah yang berlaku sekarang tidaklah seteruk dan catastrophic seperti tsunami yang menimpa Acheh, Thailand, Sri Lanka dan Pulau Pinang yang mengorbankan beratus ribu nyawa, genap 10 tahun pada minggu lepas.

Bah terbesar di Malaysia berlaku pada 1926. Padang Malay College, Kuala Kangsar ditenggelami air. Di Kelantan bah besar ini dikenali sebagai bah air merah dan menjadi “ukuran/hisab” umur orang Kelantan kerana tatkala itu belum lagi wujud pendaftaran beranak dan kematian terutama di luar bandar.

Si Salleh sudah bersunat atau berjawi masa bah air merah, Si Bedah belum datang haid lagi. Lazimnya di Kelantan, waktu itu budak bersunat antara umur sembilan - 12 tahun; perempuan datang haid dari 11 tahun ke atas.

Dari peristiwa ini, usia seseorang boleh dikira kalaupun tidak tepat, tetapi boleh diterima sebagai educated guess kata Speaking.  Saya tidak pernah lupa bah besar di Kelantan pada 1947. Bandar Kota Bharu tenggelam.

Saya amat ceria dan gembira melihat ramai gadis dan remaja turun bermain air, mengorat dan “dating”. Di Kampung Bandar, tempat kelahiran saya, juga dilanda banjir dan saya seronok mengayuh perahu, menziarahi kawan sekampung dan sahabat di kampung berhampiran.

Tiada bantuan daripada sebarang pihak. Tiada kanak kanak atau orang dewasa mati lemas, tiada kelaparan kerana rakyat waktu itu amat berdikari - self reliant! Kerana lazimnya bah datang antara bulan November - Januari, mereka yang tinggal di tebing sungai Kelantan dan perkampungan lembah sungai, membuat persediaan awal: mengadakan terendak, payung, beras, gula, garam; ikan kering, ikan pekasam dan daging salai, telur masin; kayu api, air dalam tempayan untuk minum, korek api (matches) dan mereka yang berada beli banyak ikan sardin dalam tin dan lain-lain. 

Ketika saya menjadi wakil rakyat Parlimen atau MP dua penggal, penggal pertama, negeri Kelantan dilanda bah sungguhpun tidak sebesar seperti sekarang. Di Machang, kawasan saya sebelum Kok Lanas, juga terlibat.

Saya melawat kampung berjumpa mangsa, membawa bantuan menggunakan motobot dari kampung ke kampung yang hampir 30 tahun dahulu tempat saya bermain air dan mendayung perahu sambil bersantai.

Saya leka melihat ramai kanak-kanak suka hati bermain air di sesetengah kampung di mana scenes, tempat peristiwa itu berlaku itulah sebenarnya kehidupan - anak-anak atau muda-mudi tiada sesuatu yang menakutkan, apalagi ngeri kerana apa yang berlaku bukanlah tsunami atau bah zaman Nabi Nuh!

Melihat scenes ini, ingatan saya deras kembali pada bah besar 1947. Meriah main air, seronok makan nasi dengan ikan pekasam, daging salai, nasi air dengan ikan kering; menikmati kesihatan yang baik, mengalami keseronokan dan kegembiraan serta berita baik saya dipilih masuk MCKK untuk sesi Januari 1948 tatkala berumur 10 tahun.

Bersama pelajar lain yang senior, saya dan Rawi Abdul Rahman (bekas guru Kirkby) yang dipilih bersama saya, berlepas dari Stesen Keretapi Palekbang Ke Pulau Pinang melalui selatan Siam.

Setelah berehat satu malam di Pulau Pinang, kami berlepas ke Kuala Kangsar dari Stesen Keretapi Seberang Prai. Maka Thailand adalah negara  asing pertama saya ziarahi walaupun melihat negara itu dari gerabak dan stesen kereta api. Jika saya selalu ke Thailand jangan hairanlah.

Semasa di Bangkok, sementara keluarga wanita membeli-belah dan bersiar-siar, kami lelaki pergi berlatih menembak dengan berbagai senjata api di padang menembak atau shooting range tentera atau polis Thailand, beberapa kilometer di luar inner - city Bangkok - satu tarikan bagi pelancong di Bangkok. Bayaran bergantung jumlah peluru digunakan. Minimum adalah 50 butir dan harganya RM6 sebutir.

Tarikan Bangkok, masa muda dulu kepada saya, adalah nightlife. Sekarang, menziarahi tempat-tempat bersejarah baru dan melawat semula institusi-institusi lama dan menikmati Sungai Chao Phraya yang membelah kota raya Bangkok.

Sungai ini sibuk dengan aktiviti namun amat menarik dan menjadi panacea pada saya kerana menenteramkan gangguan kehidupan, satu-satunya ialah traffic jam yang menjadikan traffic jam di Kuala Lumpur bagai satu picnic!

Melihat ketenangan air Sungai Chao Phraya mengalir juga menjadi sedikit ubat kepada gangguan kehidupan walaupun tidak ada panacea sebenarnya bagi gangguan dalam kehidupan dan juga tidak ada satu-satunya ubat bagi membetulkan penyakit ekonomi negara.

Apa pun bagi keluarga kami, bagaimana ria dan girang pun bercuti atau tinggal di luar negara, masakan sama dengan ibu pertiwi! Walaupun itu satu klise, saya percaya kepadanya: hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik lagi.

Mereka yang tidak hayati ini, selamat berhijrah; selamat tinggal!  Sebenarnya setiap kali saya pulang dari melancong saya mengulangi kesyukuran kepada ILAHI betapa bernasib baik saya  bermastautin dan anak watan Malaysia.