Jumaat, 23 Januari 2015

Najib masih belum kotakan janji




Oleh Lim Kit Siang


Dalam wawancara rancangan ‘Soal Jawab’ TV3 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan terus komited mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara dengan memastikan tiada pertelingkahan kaum yang serius terjadi.

Beliau menekankan sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia dan beliau akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Sementara kita mengalu-alukan jaminan Najib, perlu dinyatakan Najib yang bakal genap 6 tahun menjadi perdana menteri dalam masa kurang 3 bulan lagi, masih belum membuktikan beliau perdana menteri untuk kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah, dan merupakan pendukung utama politik terangkum dan sederhana, dan bukannya membenarkan retorik dan politik eksklusif dan ekstremis bebas dalam negara.


Tiada sesiapa yang sangsi dengan kefasihan Najib mempromosikan perjuangan kesederhanaan di lingkaran antarabangsa, dengan inisiatif Global Movement of Moderates yang dipromosikan 3 kali di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, namun malangnya, Najib belum lagi mengotakan kata-katanya di forum-forum antarabangsa, di tanah air sendiri.

Seandainya Najib boleh melaksanakan 10% sahaja daripada kepercayaan dan dukungannya terhadap prinsip kesederhanaan di dalam negara sebagai perdana menteri Malaysia, beliau pasti lebih berjaya memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia.

Sebaliknya, Najib mempunyai reputasi sebagai perdana menteri dengan nilaian populariti terendah.
Pungutan suara Edelman Trust Barometer 2015 mendapati hanya 45% rakyat Malaysia mempunyai keyakinan terhadap Putrajaya, merudum berbanding tahun lepas pada kadar 54%.

Kegagalan Najib untuk menjadi pendukung utama politik terangkum dan sederhana boleh dilihat melalui keengganannya untuk mengadakan sidang Parlimen khas bagi menyemak semula Belanjawan 2015, ataupun untuk menjemput pemimpin dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berbincang sebelum menyiapkan semakan semula Belanjawan 2015.

Malah, bukan sahaja pemimpin BN, tetapi Menteri Kabinet pun tidak diajak bersama dalam proses merencana dan menyiapkan semakan semula Belanjawan 2015, dan mesyuarat Kabinet semalam sekadar diberikan keputusan semakan semula Belanjawan 2015 yang diumumkan sehari sebelumnya.

Pemimpin Pakatan Rakyat berulang kali menyebut kita bersedia bekerjasama dengan perdana menteri dan Putrajaya untuk memajukan maksud ke arah rekonsiliasi nasional namun Pperdana menteri masih belum melayani tawaran ini.

Dalam perutusan State of TheUnion semalam, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata:
“Jika anda turut berkongsi gagasan yang saya gariskan malam ini, bekerjalah bersama saya.

“Jika anda tidak setuju dengan beberapa bahagian, saya harap anda akan bekerjasama dengan bahagian-bahagian yang lain. Saya harap anda akan bekerjasama dengan saya, di bahagian yang anda setuju.

“Dan saya memberi komitmen kepada semua pemimpin Republikan di sini malam ini, saya bukan sahaja akan mendapatkan idea daripada kalian, saya malah akan bekerjasama dengan ada demi menguatkan negara ini.”

Kini timbul kontroversi sama ada Obama akan mengotakan katanya terhadap komitmen yang dibuat dalam perutusan State of The Unionitu.

Tetapi di Malaysia, Najib masih belum membuat komitmen untuk bersedia bekerja dengan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan politik – dan perdana menteri pun masih lagi belum memberi sebarang respons kepada 25 orang tokoh Melayu yang telah mengutus surat terbuka kepadanya satu bulan yang lalu

Tiada ulasan: